Za’ba dan Sumbangannya Terhadap Bahasa Melayu

Zainal Abidin Ahmad atau nama penanya Za’ba memang tidak asing lagi dalam persada linguistik dan persuratan khususnya dalam Bahasa Melayu. Beliau merupakan pakar Bahasa Melayu yang terulung pada awal abad ke-20. Za’ba memantapkan lagi struktur dan penggunaan Bahasa Melayu dengan meletakkan peraturan asas dalam nahu serta fonologi untuk Bahasa Melayu melalui ejaan Jawi dan Rumi. Oleh hal yang demikian, atas sumbangan besar Za’ba terhadap Bahasa Melayu, Bahasa Melayu telah menjalani evolusi daripada struktur klasikal yang telah digunakan beberapa abad lamanya kepada struktur moden yang kita gunakan sekarang. Antara sumbangan ketaranya dalam mengevolusikan Bahasa Melayu ialah dari segi sintaks bahasa iaitu mengubahkan struktur pasif dalam Bahasa Melayu klasik kepada struktur aktif dalam Bahasa Melayu moden.


Selain itu, Za’ba juga telah memberi sumbangan yang amat besar sekali dalam tulisan Jawi. Tulisan Jawi merupakan tulisan Bahasa Melayu sebelum datangnya tulisan Rumi. Menurut Za’ba, tulisan Jawi yang berasaskan daripada tulisan Arab ini banyak sekali ketidaktetapan dari segi ejaan dan tulisannya. Oleh sebab inilah terdorong hati Za’ba untuk menentukan peraturan-peraturan dalam sistem tulisan Jawi supaya ia dapat menjadikan sesuatu tulisan piawai yang dapat dipelajari serta digunakan orang ramai dalam menulis Bahasa Melayu. Maka dengan ini, terhasil lah buku ‘Rahsia Ejaan Jawi’ yang menjadi panduan orang ramai dalam sistem tulisan Jawi.


Sumbangan Za’ba kepada Bahasa Melayu dalam kajiannya terhadap tulisan Jawi amatlah besar sekali. Peraturan-peraturan yang dikemukakan Za’ba menerusi kajian dan pemerhatiannya amatlah berguna dan berharga sekali kerana kita dapat menikmati tulisan Jawi yang tidak penuh dengan ketidaktetapan hingga masa kini. Walaupun tulisan Jawi semakin luput dek arus kemodenan yang mana tulisan Rumi kini dihargai dan dipelajari, kita jangan lupa akan khazanah warisan orang Melayu ini yang telah kita gunakan selama 600 tahun. Apabila kita terus menghidupkan tulisan Jawi, secara tidak langsung juga kita dapat mengenang jasa Za’ba yang amat besar sekali kepada tulisan Jawi ini dan juga Bahasa Melayu pada amnya.


Zulhilmi




Rujukan gambar:


Biography [Online image]. (n.d.). Tokoh Za'ba: About Za'ba. https://umlibguides.um.edu.my/zaaba.