Wahai Anak Muda : Harapan Seorang Pemudi

Wahai Anak Muda karya Nur Afiqah Bte Hasan bertemakan seruan kepada golongan muda dan harapan terhadap mereka sebagai pelapis bangsa pada hari muka kelak. Penulis mempunyai kehalusan bahasa yang mengajak dan menyeru kepada pembaca terutama sekali golongan muda dengan cara yang lembut. Perkara ini dicerminkan melalui penggunaan kata ‘wahai’ yang menunjukkan nada seruan yang lembut. Malah, penulis menggunakannya secara berulang pada permulaan setiap rangkap.


Selain daripada itu, sajak tiga rangkap ini mempunyai persoalan yang tersendiri pada setiap rangkapnya. Daripada rangkap yang pertama, persoalan yang ditengahkan adalah perihal signifikasi golongan muda dalam pembangunan bangsanya. Perkara ini dapat kita lihat daripada frasa-frasa berikut dalam rangkap pertama: harapan bangsa dan Apa hebatnya si dia?


Daripada rangkap kedua, persoalan yang disuguhkan adalah nasihat kepada golongan muda dan pesanan bahawa mereka merupakan generasi pelapis bangsa dan negara. Penulis secara hematnya telah menyenaraikan beberapa keutamaan dan bekal yang perlu ada dalam diri setiap anak muda yakni,


Berbekalkan ilmu, meraih ijazah

Mencari rezeki, menuntut agama

Membina masjid, direstui ibu bapa [R2 B2-4]


Daripada pembuktian ini, penulis telah menyerlahkan ‘ilmu’, ‘ijazah’, ‘rezeki’, ‘agama’, ‘masjid’ dan ‘ibu bapa’. Pemilihan kata-kata mempunyai signifikasinya yang tersendiri kepada setiap anak muda. ‘Ilmu’ dan ‘ijazah’ menumpukan kepada kepentingan pendidikan dan peningkatan diri dengan bekal ilmu. Perkara ini juga mempunyai kesinambungan dengan baris yang seterusnya yang membicarakan tentang ‘rezeki’ dan ‘agama’. Anak muda perlu berusaha untuk mendapatkan ‘rezeki’ yang halal dan diberkati bagi urusan duniawi. Di samping itu, tidaklah mereka melalaikan ‘agama’ yang menyentuh perihal kedua-dua duniawi dan ukhrawi. Tatkala anak muda sibuk berusaha mendapatkan ‘rezeki’ mereka mungkin akan terlupa tentang kepentingan menuntut dan melaksanakan perintah agama. Seterusnya, pada baris yang terakhir rangkap ini, penulis telah menggunakan simbol ‘masjid’ yang merujuk kepada mahligai impian yang ingin dibina bersama insan yang mereka cintai.

Malah, tidak harus mereka lupa akan kepentingan restu kedua-dua ibu bapa mereka serta perkara-perkara yang lain dalam rangkap ini seperti ‘ilmu’, ‘ijazah’,’rezeki’ dan ‘agama’ yang berperanan sebagai asas-asas dan keperluan sebelum mereka ingin mendirikan sebuah ‘masjid’. Selain ini, mungkin juga penulis ingin berpesan kepada anak muda agar elak daripada jatuh ke dalam kancah kemaksiatan dan dosa akibat nafsu-nafsi mereka.


Rangkap yang ketiga pula menyentuh tentang menjaga hati daripada penyakit hati yang membawa kepada perbuatan-perbuatan tidak baik. Hal ini kerana hati merupakan raja tubuh manusia dan ketika darah muda inilah hati mudah ternoda dengan anasir yang tidak baik sekiranya hati tidak dijaga. Oleh yang demikian,perbuatan ataupun tingkah laku seseorang merupakan manifestasi keadaan hati seseorang. Dalam rangkap akhir ini, perkara ini telah berjaya disampaikan dengan menggambarkan tabiat buruk manusia yang lazimnya dicerminkan dalam perhubungan manusia kini.


Secara kesimpulan, karya ini dapat dijadikan satu seruan yang berbentuk nasihat kepada anak-anak muda sebagai generasi pelapis.


Oleh Nurain