Puisi Ibumu: Kasih Dicurah, Jasa Tidak Dikenang


Sajak ini mengetengahkan rintihan seorang ibu yang nampak-nampaknya tidak dihargai sepenuhnya oleh si anak.


Pada rangkap pertama dan kedua sajak ini, penulis, yang mengambil peranan sebagai ibu, menyuarakan fikiran-fikirannya atas kelakuan anaknya. Pembaca dapat membayangkan bagaimana si anak sering memikirkan tentang kegembiraannya sendiri, dan segala apa yang serba kekurangan, sering disalahkan kepada ibunya.


Pandangan ini berlainan dengan rangkap-rangkap seterusnya yang memaparkan bagaimana suka-duka si anak sentiasa diingati oleh ibu. Tidak seperti si anak, ibu tidak menyalahkan si anak ketika kekurangan berlaku, malah diri sendiri dipersalahkan. Ibu yang sedang sibuk meningkatkan pelajaran tidak putus memikirkan tentang kesejahteraan anaknya yang dianggap sebagai motivasi (rangkap 5). Sewaktu ibu berasa gembira, si anak tetap berada dalam minda (rangkap 7) kerana si anaklah pelengkap kehidupan ibu. Apabila ibu berasa sedih pula, apa yang didoakan adalah kebaikan untuk anak.


Dalam sajak ini, ibu meluahkan rasa bersalahnya kerana gagal mengasihi anaknya dengan sempurna. Mungkin istilah ‘sempurna’ ini boleh ditafsirkan sebagai “idealistik”, ataupun yang “mendengar kata”. Si anak mungkin berasa bahawa ibu amat kekurangan kerana apa yang dikehendaki tidak dituruti. Namun, si anak gagal memahami mengapa ibu tidak menurutinya, dan dia gagal melihat bahawa keutamaan ibu adalah kesihatan, tawa dan kebahagiaan (rangkap 6) dirinya sendiri.


Mungkin sajak ini boleh juga dianggap sebagai peringatan untuk belia-belia pada zaman ini. Dengan adanya pengaruh daripada media sosial dan sebagainya, anak-anak muda hari ini semakin lupa untuk berjasa kepada ibu (dan bapa) mereka. Penulis berjaya untuk menyentuh hati pembaca dalam rangkap terakhirnya di mana ibu menangis sambil berdoa supaya anaknya melalui kehidupan yang lebih sempurna dan ideal berbanding kehidupannya sendiri. Hal ini kerana doa seorang ibu itu begitu bermakna dan diutamakan, dan segala yang didoakan merupakan keinginan positif terhadap si anak walaupun ibu tidak dihargai olehnya.


oleh Nurul Fazilah