Apakah Identiti Kamu - 'MM', 'Mm' atau 'mm'?

Lambang ‘MMMmmm’ -

Sebagai seorang pelajar yang pernah mendalami bidang Biologi pada zaman sekolah menengah dahulu, saya amat teruja dengan penggunaan idea gen dominan dan gen resesif, atau yang lebih dikenali sebagai ‘dominant genes’ dan ‘recessive genes’, untuk menunjukkan tahap keMelayuan seseorang. Huruf ‘M’ besar melambangkan gen dominan Melayu manakala huruf ‘m’ kecil melambangkan gen resesif melayu. Gen dominan ‘M’ ini menunjukkan tahap keMelayuan seseorang yang kuat dan teguh, manakala gen resesif ‘m’ menunjukkan tahap keMelayuan seseorang yang lemah dan ragu-ragu akan identitinya.


Saya amat tertarik dengan lambang ini kerana tentunya, demografi orang Melayu boleh dibahagikan dengan lambang-lambang fenotip MM (yang bangga), Mm (yang sederhana) dan mm (yang malu). Jika diperhatikan, setiap orang Melayu menunjukkan pendekatan yang berbeza terhadap identitinya sebagai orang Melayu. Melalui pendekatan-pendekatan tersebut, bolehlah kita meletakkan mereka dalam spektrum ini untuk melihat tahap keMelayuan mereka. Kesannya, bolehlah kami sebagai karyawan Melayu mengubah dan meningkatkan semangat keMelayuan pada setiap orang dalam spektrum tersebut.


Fenotip MM

Bagi sesiapa yang mempunyai fenotip ‘MM’, mereka mempunyai semangat keMelayuan yang mendalam dan berkobar-kobar - mereka bangga menjadi seorang berbangsa Melayu, mereka akan memperjuangkan bahasa dan bangsa Melayu. Antara demografi belia, terdapat pejuang-pejuang bahasa, yang tergolong dalam MM. Pejuang-pejuang bahasa ini menghasil, mengkritik, memperbaiki dan menghayati karya-karya Melayu malah memperjuangkan bahasa Melayu dalam perbualan dan acara-acara tertentu.


Fenotip Mm

Dengan adanya gen ‘m’ dalam fenotip ‘Mm’, kelompok ini mempunyai semangat keMelayuan yang rendah jika dibandingkan dengan kelompok fenotip ‘MM’. Kelompok ini tidak malu mahupun tidak terlalu bangga dengan bangsanya. Mereka terima seadanya. Mereka seringkali menikmati karya-karya Melayu pada permukaannya, seperti menonton filem Melayu. Hal ini sesuatu yang baik kerana terdapat percubaan untuk mendekati diri dengan karya-karya melayu.


Fenotip mm

Di samping itu, kelompok fenotip ‘mm’ pula malu terhadap bangsa Melayu. Kadangkala, mereka tidak mahu menganggap dirinya sebagai orang Melayu. Dengan kedua-dua gen resesif ‘m’, mereka menolak aspek-aspek keMelayuan dalam dirinya. Antara sifat-sifat mereka yang mempunyai fenotip ini adalah enggan untuk bertutur dalam bahasa Melayu, bergaul dengan orang Melayu dan melibatkan diri dalam hal ehwal Melayu. Mereka seringkali dipengaruhi dengan pandangan-pandangan negatif terhadap orang Melayu. Oleh hal demikian, mereka menjadi malu dengan identiti sebagai seorang Melayu.


Kekurangan lambang ‘MMMmmm’

Lambang-lambang ini seolah-olah memberikan label kepada orang Melayu. Akibatnya, yang dipandang rendah adalah kelompok ‘mm’, yang tidak menganggap dirinya sebagai orang Melayu. Maka itu, lambang fenotip-fenotip ini seharusnya mempunyai objektif, seperti meningkatkan keMelayuan seseorang, atau sekurang-kurangnya meningkatkan keselesaan dan perasaan bangga terhadap identitinya sebagai orang Melayu. Sebagai karyawan, saya berpendapat bahawa kami mempunyai kuasa untuk membanggakan nama Melayu dan menangkis stereotaip-stereotaip Melayu yang negatif supaya ia boleh diterima oleh golongan mm tersebut.


Bukan itu sahaja, sekiranya seseorang itu tidak mempelajari bidang Biologi, maka sukar bagi mereka untuk memahami lambang-lambang ini. Mungkin ada yang terlepas pandang, ada pula yang tertanya-tanya, “Apakah maksud huruf-huruf itu?” Dengan itu, hanya segelintir daripada pembaca buku ‘Antologi Cerpen dan Sajak’ dan para hadirin ‘Malam Sastera Perbayu 2019’ boleh mendalami dan mengaitkan fenotip ini dengan tahap keMelayuan seseorang. Maka itu, perlulah ada perencahan tentang lambang-lambang ini supaya boleh difahami oleh kelompok yang lebih luas lagi.


Kesimpulan

Natijahnya, lambang-lambang ini boleh digunakan untuk menunjukkan tahap keMelayuan seseorang. Namun, ia tidak seharusnya digunakan untuk mencaci atau mengecam sesiapa. Sebaliknya, lambang ini harus mempunyai objektif tertentu. Melalui tahap kebanggaan orang terhadap identitinya sebagai orang Melayu, pejuang-pejuang bahasa Melayu dapat memerah otak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya supaya nama bangsa Melayu dicantikkan dan boleh dibanggakan oleh setiap fenotip.


Shafizah Johan