Hari Jumaat: Selesa Beribadah

Hari Jumaat merupakan puisi genre bebas yang mengetengahkan fenomena sosial dalam konteks pelaksanaan solat berjemaah di sebuah masjid. Penulis menyampaikan puisi dalam bentuk yang menggambarkan keadaan solat berjemaah dengan adanya imam dan makmum. Setiap ayat (yang bermula dengan huruf besar dan berakhir dengan tanda titik) melambangkan seorang individu dengan sikapnya yang tertentu.


Tujuan puisi ini adalah untuk menyedarkan masyarakat akan tingkah laku yang lazimnya berlaku di masjid dan juga memberi kesedaran kepada golongan yang tidak biasa ke masjid. Dalam memberi kesedaran akan tingkah laku yang berbeza, penulis menggunakan unsur yang bersahaja dan mudah difahami. Puisi dimulakan dengan arahan daripada imam agar saf diluruskan dan dirapatkan. Namun, dapat diperhatikan bahawa setiap ayat direnggangkan antara satu sama lain. Contoh seperti antara ‘bersongkok’ dan ‘bertasbih’ dan antara ‘bertanda di dahi’ dan ‘berjubah putih’. Ini merupakan sesuatu kejadian yang lazim dalam pelaksanaan solat berjemaah di masjid. Saf tidak dirapatkan mungkin kerana setiap jemaah ingin ‘berselesa’.


‘(Budak dihalau)’ merupakan sesuatu yang kerap berlaku di dunia nusantara. Malah terdapat sebuah kisah yang tular di media sosial. Terdapat satu akhbar yang berkongsi bahawa seorang kanak-kanak lelaki telah diusir daripada melaksanakan solatnya di barisan saf pertama seperti jemaah-jemaah yang lain di situ. (Boleh dibaca dalam pautan ini: https://odisi.my/tak-puas-hati-dihalau-dari-saf-pertama-kanak-kanak-ini-tekad-hantar-surat-tegur-pengerusi-surau/). Natijahnya, seorang kanak-kanak kecil atau sesiapa pun tidak kira usia dan darjat mereka tidak patut diusir daripada melaksanakan solat di barisan saf pertama kerana agama tidak pernah menganjurkan kita untuk membezakan manusia mengikut usia atau darjat mereka apatah lagi di ruang solat.


Puisi ini juga bertujuan untuk menyatakan bahawa walaupun seseorang itu mempunyai tingkah laku yang berbeza, Islam dapat menyatukan hati dalam beribadah kepadaNya. Pada zahirnya tampak berbeza, namun keikhlasan dalam beribadah hanya boleh dinilai oleh Yang Maha Pengasih. Begitu juga dalam kita beribadah, sepatutnya seseorang itu memerhatikan keadaan sekeliling agar keselesaan diri tidak menjejas keselesaan orang lain.


oleh Shafie Hussein