ULASAN E-BUKU ‘CERMIN’: ANTOLOGI CERPEN


Judul e-Buku: CERMIN (Antologi Cerpen)

Tema: Melayu Abad ke-21

Pengarang: Ahli Kumpulan Karyawan Melayu NTU-NIE (KKMNN)

Penerbit: Kalimah Baiduri

Jumlah halaman: 169 halaman

Tahun Terbit: 2020


Antologi cerpen ‘Cermin’ berbentuk e-buku ini memuatkan 11 buah cerpen yang menggunakan konsep gabung jalin antara dua disiplin iaitu bidang sastera dan sains. Susunan cerpen pula dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pantulan, biasan dan hamburan dengan menggunakan cermin sebagai simbol utama dan menjadi judul pilihan bagi antologi cerpen ini.

Jika saya kaitkan karya-karya ini dengan tiga fenomena fizik tersebut, satu hal yang menonjol dalam ketiga-tiga cerpen bahagian ‘Pantulan’ ini ialah refleksi setiap watak utama terhadap kehidupan mereka. Penggunaan cermin yang menjadi pencetus refleksi kepada watak dalam beberapa bahagian plot cerita jelas kelihatan.

Empat cerpen di bawah kategori ‘Biasan’ pula memperlihatkan ciri-ciri perubahan sama ada situasi yang berlaku di sekeliling watak atau perubahan dalam diri watak tersebut.

Cerpen-cerpen dalam bahagian ‘Hamburan’ pula lebih ke arah perasaan dalaman watak seperti ombak yang mengikuti arus tetapi mempamerkan gelagat dari kandung hati yang berkocak-kocak dan bercampur baur.


Dalam antologi cerpen ini, situasi masyarakat Melayu Abad ke-21 dipilih sebagai dasar bagi karya-karya yang merangkumi pelbagai persoalan seperti persahabatan, gejala sosial, konflik kekeluargaan, perkauman, kesihatan mental, penderaan dalam rumah tangga dan kematian.

Gejala sosial seperti isu dadah dan keruntuhan moral seperti sikap berfoya-foya masih menjadi pilihan dalam penulisan cerpen memandangkan isu ini masih membelenggu masyarakat kita dari dahulu hingga kini. Contohnya, dalam cerpen Lagi Satu Kesalahan, kita diperkenalkan dengan watak bekas banduan ‘Aku’, seorang ibu yang kehilangan masa untuk membesarkan anak kecilnya akibat dadah. Keadaan menjadi lebih keruh apabila masalah-masalah lain bak jatuh ditimpa tangga timbul lalu membawa ‘Aku’ kembali ke kancah dadah buat sementara waktu sebelum menyerahkan diri ke pihak polis.


Dari penulisan cerpen ini, kita mendapati bahawa ada segelintir masyarakat yang belum dapat mengikis stigma terhadap golongan bekas banduan apabila kembali semula bekerja setelah tamat tempoh hukuman pemenjaraan. Walaupun bermacam-macam inisiatif bagi menyokong bekas banduan telah dilakukan oleh pihak pemerintah, peminggiran masih berlaku. Potensi untuk bekas banduan mengulangi kesalahan lalu adalah tinggi kerana tiada sokongan oleh orang di sekeliling.

Cerpen-cerpen yang membincangkan tentang isu kesihatan mental pula adalah satu langkah yang wajar kerana masalah seperti kemurungan dialami oleh setiap lapisan umur dalam masyarakat lebih-lebih lagi dengan situasi pandemik dan arus yang pesat di negara kita. Usaha serta jalan penyelesaian yang dilakukan secara profesional amatlah penting untuk menangani isu tersebut memandangkan gangguan mental masih lagi dianggap sebagai masalah rohani berbanding penyakit yang organik.


Misalnya, dalam cerpen ‘Penat’, gangguan mental dialami oleh pelajar bernama ‘Adira’ yang melibatkan kepercayaan, memendam perasaan, berburuk sangka dan tiada keyakinan diri - bukan dalam kecemerlangan akademik sahaja tetapi media sosial, rakan sebaya dan keluarga. Watak ‘Adira’ boleh saya simpulkan sebagai pelajar yang tidak mendapat pertolongan pakar dan hal ini berlaku dalam masyarakat kita. Adira berada dalam kepompong kemurungan tanpa meluahkan perasaannya kepada sesiapa kerana ibu, ayah dan adik-beradiknya sibuk dengan hal masing-masing. Harapannya hanya melalui doa kepada Ilahi agar keadaan menjadi lebih baik.


Menerusi cerpen Pulut Inti Bak Chang, pengarang mengemukakan isu kemurungan dengan mengambil latar ruang yang berbeza iaitu dunia pranatal watak ‘Sarah’ yang takut keguguran lagi, sokongan majikan terhadap wanita yang cuti selepas bersalin, menerima perlian daripada ibu mertua serta merasa iri terhadap kecantikan wanita bernama Hajar. Sokongan dan kasih sayang suaminya, Rosham memberi contoh bagaimana masyarakat perlu cakna dengan tanda-tanda kemurungan yang melibatkan orang yang tersayang agar masalah kemurungan dapat dikawal dan tidak berlarutan hingga menjadi lebih teruk.


Dua cerpen iaitu Syurga Sara dan Aku Wanita mengetengahkan isu penderaan dalam rumahtangga. Namun demikian, dalam ‘Syurga Sara’, kes penderaan bukanlah isu utama dalam cerpen tetapi syurga yang membawa konotasi indah iaitu kebahagiaan Sara sewaktu ibunya masih hidup dan kenangan manis bersama sahabat baiknya Faizal di bangku sekolah lebih menonjol daripada isu penderaan oleh suami Sara selepas berumahtangga. Sebaliknya, isu ini menjadi persoalan utama dalam cerpen ‘Aku Wanita’. Cerpen ini istimewa ditulis oleh kaum Adam iaitu Muhammad Zulhilmi. Beliau melahirkan keprihatinannya terhadap isu tersebut dengan memberi solusi di akhir cerita bahawa kes-kes penderaan perlu dilaporkan agar wanita yang menjadi mangsa tidak menderita dalam diam dan bangkit semula untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik.


Menerusi cerpen Warna Kita, isu perkauman menjadi fokus. Kita dapat lihat bagaimana manusia berkulit sawo matang yang boleh disinonimkan dengan masyarakat Melayu dicap dalam kategori tertentu dari segi taraf pendidikan, jumlah anak ramai dan masalah kesihatan yang berkait rapat dengan persepsi dan label tertentu.

Dari segi penyampaian cerpen, kebanyakan penulis menggunakan sudut pandangan yang ketiga. Hanya beberapa cerpen yang menggunakan sudut pandangan pertama iaitu cerpen-cerpen Lagi Satu Kesalahan, Cahaya Atau Bayangan, Aku Wanita dan Baju Melayu Putih. Walaupun begitu, dalam cerpen Penat oleh Farah Adibah, penulis menggunakan sudut pandangan campuran yang menggabungkan sudut pandangan kedua ‘Anda’ seolah-olah mengajak pembaca membayangkan mesej yang ingin disampaikan oleh penulis pada awal cerita sebelum mengubah ke sudut pandangan yang ketiga iaitu Adira.

Kepelbagaian watak dan perwatakan juga membuatkan antologi cerpen ini tidak membosankan kerana tidak tertumpu pada satu golongan usia sahaja. Wataknya juga dari latar yang berbeza mewakili pelajar, bekas banduan, wanita hamil, siswazah, guru, tukang mandi mayat dan sebagainya.


Perwatakan individu yang mengalami kemurungan juga digambarkan dengan baik seperti watak Adira dalam Penat melalui aksi pergerakan badan, tumbukan bantal dan menggaru tangan. Begitu juga dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam beberapa buah cerpen untuk memaparkan perwatakan dan perbualan sebenar pula boleh diterima kerana tidak digunakan secara keterlaluan.


Berdasarkan penyusunan dan perkembangan plot, ada pelbagai cara yang digunakan seperti teknik imbas kembali, suspens, konflik, monolog, dialog dan pemerian. Namun demikian, satu-satunya cerpen yang tiada dialog ialah Cahaya Atau Bayangan. Cerpen ini seperti satu jurnal refleksi watak ‘Aku’ yang bermonolog dengan ‘Dia’ iaitu refleksi dirinya di cermin. Cerpenis menggunakan beberapa perlambangan seperti ‘akar’, ‘sakral’ dan ‘pleksus solar’ sebelum menghuraikan maksud setiap perkataan. Pembaca juga perlu betul-betul menghayati cerpen yang agak abstrak ini untuk memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penulis. Oleh yang demikian, boleh dikatakan tiada perkembangan plot dari segi perubahan watak dalam cerita kerana cerpen ini lebih kepada hujahan ‘Aku’ yang statik sahaja.


Dialog-dialog yang disampaikan dalam cerpen-cerpen lain secara keseluruhannya sesuai dengan watak, perasaan dan situasi. Dalam cerpen Sekadar Harapan, plot konflik secara luaran antara watak Ayah dan Hilwa kerana nilai dan prinsip yang bertentangan mengenai cinta yang belum halal dan cita-cita juga dapat dilihat melalui dialog perdebatan antara dua generasi ini untuk menegakkan hujah masing-masing. Bahasa gurau senda muda-mudi seperti ayat “Comel, macam awak.” oleh watak Kassim yang menyebabkan Hilwa geli hati sesuai digunakan dalam keadaan orang muda yang bercinta.

Satu lagi perkara yang menarik dalam antologi cerpen ini adalah teknik suspens dalam cerpen Warna Kita yang mampu memancing saya dari awal hingga akhir cerita. Cerpen yang berkonsepkan fiksyen distopia adalah pendekatan yang berbeza daripada cerpen-cerpen yang lain lantas mengingatkan saya tentang plot filem-filem distopia seperti ‘Blade Runner’ dan ‘Maze Runner’ tetapi diselitkan elemen-elemen Melayu seperti pemakaian baju kurung, tudung dan nama orang Melayu untuk disesuaikan dengan isu masyarakat Melayu Abad ke-21. Saya dapat merasai kelajuan plot yang menggambarkan kecemasan situasi dua watak utama berbeza warna kulit iaitu Siti dan Dan yang ingin keluar dari sistem kawalan mengikut warna kulit yang menghambat kebebasan mereka dalam memilih haluan hidup.

Keupayaan pengarang menerapkan ajaran Islam melalui teknik pemerian dalam cerpen Baju Melayu Putih tentang upacara mandi jenazah dan proses pengebumian seorang mayat yang penuh misteri juga membuatkan saya tertanya-tanya tentang identiti mayat yang tidak terjawab hingga akhir cerpen.


Kumpulan cerpen ini juga mempunyai kekuatan dari segi penggunaan gaya bahasa untuk meningkatkan nilai estetika cerpen seperti gaya bahasa retorik dan gaya bahasa kiasan. Contohnya, dalam cerpen Sahabat, terdapat unsur pengulangan dialog “Allah sayang kau, Irfan.” di bahagian awal, tengah dan akhir cerpen. Ada juga penggunaan kata sandang ‘Si’ – Si Arwah, Si Ustaz, Si Penggali dan lain-lain untuk menggambarkan watak yang tidak dikenali dalam cerpen Baju Melayu Putih.


Cerpen Onomatopia pula unik kerana penulis menggunakan teknik onomatopia seperti ‘harimau yang mengaum’ dan ‘ibunya seperti kucing yang mengiau’ untuk memperkenalkan watak kedua orang tua Ahmad Fitri tanpa menggunakan gelaran Ayah atau Ibu dalam cerpen. Walaupun konflik kekeluargaan merupakan satu perkara yang mungkin klise, penulis berjaya untuk mempersembahkan isu ini melalui watak Ahmad Fitri yang seakan-akan menyindir ahli keluarganya yang dianggap tiada sifat kemanusiaan hingga sanggup menggunakan bahasa binatang kepada ahli keluarganya.


Dari segi persembahan cerpen, saya dapati ada juga beberapa cerpen menggunakan ayat naratif yang bertele-tele hingga terasa pergerakan cerita menjadi semakin perlahan dan meleret. Sebaiknya ada keseimbangan antara ayat naratif dan dialog dalam plot untuk mengekalkan minat pembaca hingga ke akhir cerita.


Keseluruhannya, kesemua cerpen yang dihasilkan bagi mendukung tema masyarakat Melayu Abad ke-21 ini dapat dibawa dengan baik walaupun mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing dari aspek pengolahan tema, persoalan, watak dan perwatakan, cara pengolahan plot serta teknik penceritaan.

Penulis harus sentiasa mengasah pena dan berani meneroka sesuatu yang baharu dalam setiap karya yang dihasilkan agar sastera Melayu Singapura sentiasa berkembang. Kepekaan terhadap isu-isu semasa amatlah perlu agar tema yang digarap tidak mengulangi isu-isu yang klise, sebaliknya menonjolkan buah fikiran penulis yang kritis tetapi kreatif demi kesedaran pembaca kerana karya sastera merupakan gambaran kehidupan masyarakat.


Syabas KKMNN!


Nur Khairiah



Biodata Puan Nur Khairiah


Nur Khairiah memiliki Diploma dalam Pendidikan Bahasa Melayu, NIE dan ijazah sarjana muda dalam jurusan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam (Kepujian) dari IIUM, Malaysia.


Beliau mula menulis di blog peribadinya pada tahun 2000. Pada tahun 2014, beliau menerbit sendiri beberapa buku bergambar kanak-kanak Islamik berbahasa Inggeris di Singapura iaitu ‘Why do I Love the Rainbow?’ dan ‘Look at My Hands’. Pada tahun yang sama, beliau melebarkan sayap sebagai satu-satunya novelis fiksyen Melayu remaja dari Singapura di bawah syarikat penerbitan Blink Book, Malaysia bersama penulis novel remaja terkenal iaitu Ain Maisarah.


Cerita kanak-kanaknya iaitu ‘Bambam’s Pretend Play’ (2015) terpilih antara lima cerita dalam antologi buku kanak-kanak ‘PLACES’ bagi satu projek kemasyarakatan anjuran Perpustakaan Daerah Tampines dengan kerjasama National Arts Council Singapore (NAC) dan Cultural Nodes Initiative.


Karya terkini beliau ialah zine komik peribahasa untuk pelajar sekolah rendah yang diterbitkan sendiri mengikut sukatan MOE. Beliau turut menyumbangkan karya-karyanya ke majalah Kembara NUSA yang diterbitkan oleh Pusat Bahasa NUSA Singapura.


Antara anugerah penulisan yang diterimanya termasuk juara bagi Penulisan Sastera Kanak-Kanak Pen UP! 2018 (Kategori Buku Bab Awal), pemenang bagi puisi ‘Siapakah Kita?’ dalam Pesta Puisi Singapura 2015 (kategori senior) dan juara bagi Pertandingan Blogging sempena Bulan Bahasa Singapura 2006 & 2008.


Selain itu, beliau juga menghasilkan karya-karya seni pelbagai disiplin di sudut kreatifnya iaitu Widz Studio.