Ulasan Antologi Cerpen Cermin

Rengas air di tanah gambut,

Terap hitam di pinggir hutan;

Kais pasir di tepi laut,

Terjumpa nilam di tapak tangan.


Apabila saya diundang untuk membaca Antologi Cerpen Cermin, saya berasa amat teruja kerana bukan sahaja karya-karya ini merupakan hasil penulisan golongan mahasiswa, usaha ini juga menampakkan tahap kesuburan yang wujud dalam arena kesusasteraan Melayu setempat. Semoga dengan terbitnya antologi ini, impian khalayak pembaca akan kelahiran penulis yang bakal mengikut jejak Cikgu Suratman atau Isa Kamari akan menjadi satu realiti.


Ternyata keghairahan saya tidak bertemu jalan hampa. Cerpen-cerpen yang terhasil menampakkan penggunaan kaedah 3P dalam menjadikan cerpen-cerpen mereka menarik – Pengalaman, Penghayatan dan Perasaan. Rata-ratanya, cerpen-cerpen yang terhasil telah menggunakan paling tidak salah satu pendekatan atau menggabungjalinkan beberapa pendekatan (3P) yang telah mampu menghembuskan roh pada penulisan mereka; sekali gus menghidupkan watak-watak yang ada dalam cerpen masing-masing.


Isu-isu masyarakat yang relevan telah berjaya diutarakan, termasuklah keganasan dalam institusi kekeluargaan, tentang penyalahgunaan dadah, konflik dalaman dan hal-hal yang bersangkutan dengan perkahwinan. Isu-isu ini telah disulam masuk ke dalam jalan cerita yang mampu mengajak minda pembaca untuk berfikir secara kritikal.


Sebuah cerpen yang baik mampu menagih tumpuan penuh golongan pembaca sedari halaman pertama sehingga ke halaman terakhir karya itu. Penggunaan kosa kata yang bombastik bukan satu kewajipan. Cukup dengan pemilihan diksi yang bijak dan berkesan. Pastinya kewujudan elemen kejutan dapat menambah seri pada penulisan supaya jalan ceritanya tidak mendatar sehingga pembaca sudah dapat meneka akan kesudahan cerita itu sebelum tiba ke pengakhirannya. Antara cerpen yang pada hemat saya meninggalkan kesan termasuklah cerpen Syurga Sara, Warna Kita, Pulut Inti Bak Chang, Baju Melayu Putih dan Onomatopia.


Sekiranya ada perkara yang mungkin dapat diperbaiki, secara peribadi, saya amat menggalakkan penulis tidak menggunakan bahasa Inggeris dalam karya mereka. Penggunaan bahasa Inggeris boleh ditafsir sebagai satu langkah penulis yang mengambil jalan mudah untuk mengutarakan sesuatu isu. Sekiranya bertemu jalan buntu, penulis perlu memikirkan cara untuk mengolah penulisannya supaya penggunaan bahasa Melayu itu tidak dicagar. Penggunaan Bahasa pasar dalam dialog itu jauh lebih baik daripada menggunakan Bahasa Inggeris dalam cerpen Melayu. Bayangkan sekiranya terdapat kisah yang berlaku di San Fransisco antara dua watak yang menetap di sana. Apakah keseluruhan dialognya akan menggunakan Bahasa Inggeris? Maka daya kreativiti penulis diperlukan sekiranya berdepan dengan cabaran ini. Kreativiti bukan termasuk dalam menghasilkan cerita yang menarik sahaja. Kreativiti penulis juga melibatkan olahan penulis untuk menggunakan bahasa yang sesuai.


Seperkara lagi, sebelum dihantar sesebuah karya itu, sebaiknya dipastikan penggunaan bahasanya tidak terdapat sebarang kesilapan nahu. Ini akan menjadikan karya itu lebih indah dan menepati elemen ‘su’ (keindahan) dalam kesusasteraan.


Secara syumul, saya amat tertarik dengan cerpen-cerpen yang dihidangkan. Melalui cerpen-cerpen ini, khalayak pembaca dapat menyingkap pemikiran penulis dan dihidangkan dengan perspektif yang berbeza. Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada para penulis untuk terus berkarya pada masa mendatang.


Anak kuda lari berdua,

Burung kedidi terbang tinggi;

Teruskan usaha tarilah tinta,

Kelak pasti putik menjadi.


Salam sastera,

Djohan A Rahman




Biodata Cikgu Djohan A Rahman

Djohan A Rahman merupakan seorang penulis kelahiran Singapura yang memulakan perjalanan penulisan beliau pada tahun 1991. Dewasa itu, beliau sering menghasilkan seni kata dikir barat untuk kumpulannya ‘Andika’. Cerpen pertama beliau yang berjudul ‘Salah Siapa’ telah memenangi Hadiah Persuratan Kategori Remaja pada tahun 2001. Beberapa cerpen dan sajak beliau juga telah dimuatkan ke dalam antologi bersama terbitan syarikat-syarikat penerbitan di Singapura, Malaysia, Brunei dan Indonesia. Beliau telah menerbitkan antologi solonya (Tika Aksara Menari) pada tahun 2017 dan naskhah itu telah disenaraipendekkan sebagai salah satu karya terbaik untuk anugerah Hadiah Kesusasteraan Singapura 2018. Kumpulan cerpen keduanya dijadualkan terbit pada tahun 2021. Kini, Djohan bertugas selaku seorang Guru Peneraju di bawah naungan Kementerian Pendidikan Singapura. Beliau merupakan penerima Anugerah Guru Arif Budiman pada tahun 2017, dan juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Presiden bagi Guru President's Award for Teachers) pada tahun yang sama.