Tujuh

Tujuh hari. Hatiku berdetik. Telingaku mendengar bunyi yang sambung-menyambung, seolah-olah memerli diriku. Bilik yang samar diterangi lilin mula menjadi kelam, apabila angin yang bertiup dari tingkap mula bermain dengan api. Terang-gelap-terang-gelap, seperti mataku yang perlahan-lahan berkelip memerhatikan dia yang berada di dalam bilikku ini. Dia tersenyum melihatku. Perlahan-lahan dia duduk di hujung katilku. Aku, yang tadinya terketar-ketar, mula menenangkan diri. Selesa? Tidak. Mungkin mula terbiasa. Sewaktu dia mengucapkan sesuatu, aku mula melarikan diri. Jasadku kekal di tempat yang sama, namun jiwaku berlari sekuat hati. Apa hendak dikata? Malam itu terjadi lagi.


***

Tujuh bulan. Aku menghela nafas. Aku berdiam diri di katil, menyelubung seluruh badan. Mungkin, jikalau aku tidur, ianya tidak akan berlaku lagi. Terasa badanku yang tegang mula ditelan empuknya katil. Mindaku mula senyap. Aku ke awang-awangan, dimandikan sinaran matahari yang membuat diri terasa hidup. Kebahagian, ketenangan, keselesaan, ke...kelam. Tidak! Bahuku digoncang sekuat mungkin. Diriku jatuh dari awan yang menampung diri. Terasa urat dan jantungku bagai hendak terasing daripada badan. Tubuhku digoncang sekali lagi, kali ini terasa peritnya pula di pipi. Akhirnya, badanku terhempas di permukaan bumi. Aku terjaga. Dia berada di depanku. Matanya meliar, merah dan kosong. Bukankah engkau seharusnya menyayangiku? Denyutan jantungku kian berlumba dan airmataku mula bertakung. Bencinya aku dengan kelibat di hadapanku kini. Tidur pun tidak akan dapat menyelamatkanku. Apa hendak dikata? Malam itu terjadi lagi.


***

Tujuh tahun. Umur yang terlalu muda untuk merana sebegini. Hendak mengadu tetapi kepada siapa? Bukankah anak kecil ini tidak tahu akan keperitan hidup? “Oh, Tuhan,” aku mula berdoa. Aku berharap sesuatu akan berubah. Aku berharap mimpi buruk ini akan berakhir. Aku berharap dia tidak akan hadir lagi. Merenung ke luar jendela, aku mendengar pintu bilikku dibuka perlahan. Harapanku tadi musnah begitu sahaja. Aku mula mengasingkan jiwa dari jasad. Aku cuba menenangkan minda, agar tidak terus menghilang. Jam di dinding menunjukkan 3 pagi. Aku melihat ke arah pintu bilik. Dia tercegat di pintu. Sudah tiba masanya sekali lagi. Setiap malam, aku dilakukan sebegini. Seperti boneka yang kejung, longlai tidak bernyawa, tidak bernadi. “Firdaus,” dia memanggilku. Bulu romaku meremang. Tanda perantaraan kami akan bermula. Apa hendak dikata? Malam itu terjadi lagi.


***

Tujuh kaki. Akhirnya, tiada lagi kelibat si dia di sisi. Tiba-tiba sahaja, dia menghilangkan diri. Dia dijemput bertemu Ilahi. Tuhan, Dia mendengar raunganku ini. Namun, ada yang belum dijawab lagi. Hatiku berdetik mengikut denyutan nadi. Ingin mendapat jawapan agar mengubat jiwa nurani. Apa hendak dikata lagi? Malam itu tidak akan terjadi. Hanya mimpi buruk yang kekal menghantui. Kekosongan jiwa yang kekal menemani. Soalanku hanya satu kini - mengapa, Abi?


Siti Rezkiah