Temuramah bersama Safiyah Salmi dan Dr Roszalina

Jika tidak dipecah ruyung, masakan dapat sagunya. Dengan terbitnya antologi sulung Kumpulan Karyawan Melayu NTU-NIE (KKMNN) berjudul ‘Antologi Cerpen & Sajak: MM Mm mm’, maka tidak dapat dinafikan iltizam para mahasiswa yang telah jerih berusaha dalam melestarikan bahasa dan kesusasteraan Melayu di Singapura. Antologi ini adalah antara usaha KKMNN untuk menggalak para mahasiswa bersikap lebih peka akan hal ehwal masyarakat Melayu dan berkongsi buah fikiran mereka mengenai isu berkaitan masyarakat. Dalam artikel ini, akan dipaparkan temuramah antara Suhailah Sulaiman (alumnus KKMNN) dan dua orang insan yang terlibat dalam penerbitan antologi ini iaitu Safiyah Salmi (penyunting) dan Dr Roszalina Rawi (pensyarah penasihat Perbayu NTU-NIE). Dr Roszalina telah menyumbangkan Kata Alu-aluan dalam antologi ini.

___________________________________________________________________________


Suhailah: Apakah yang telah menggalak anda untuk menerbitkan buku antologi ini?


Safiyah Salmi: Penerbitan buku merupakan salah satu impian saya yang sudah lama saya hasratkan. Dengan tertubuhnya Kumpulan Karyawan Melayu NTU-NIE (KKMNN), ia telah menyuntik semangat yang berkobar-kobar dalam diri saya untuk menghasilkan sebuah buku yang mencerminkan pemikiran belia Singapura bersama-sama rakan-rakan seperjuangan saya.


Antologi ini boleh diibaratkan sebagai benih yang ditanam dan disemai agar satu hari nanti ia akan mekar segar dan bercambah, menyemarakkan dunia kesusasteraan Singapura. Semoga antologi ini menjadi titik permulaan perbincangan dan wacana mengenai hal ehwal masyarakat Melayu Singapura di kalangan para pelajar institut pengajian tinggi.


Suhailah: Apakah perasaan anda setelah buku ini telah diterbit?


Safiyah: Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Saya amat berbesar hati melihat hasilnya. Segala syukur dipanjatkan ke hadirat Ilahi.

Saya amat beruntung diberi peluang untuk menghasilkan sebuah puisi dan sebuah lagi cerpen, menyunting dan mereka hias sebuah antologi, menerbitkan sebuah pementasan drama serta menyelaraskan sebuah acara kesusasteraan (Malam Sastera PERBAYU) sepanjang penglibatan saya dalam Kumpulan Karyawan Melayu NTU-NIE (KKMNN). Saya amat bersyukur dapat memulakan perjalanan ini bersama ahli-ahli KKMNN. Seperti yang dinyatakan dalam mukadimah antologi, 'MM Mm mm' merupakan sebuah anugerah yang lahir daripada usaha gabungan semua ahli anggota KKMNN yang telah bertungkus-lumus menjayakannya.


Terima kasih yang tidak terhingga kepada para pensyarah yang banyak membimbing dan menyokong saya sepanjang perjalanan ini. Tidak lupa juga kepada jawatankuasa Perbayu NTU-NIE yang telah menjayakan acara kemuncak KKMNN 2018/19, Malam Sastera PERBAYU, terima kasih atas sumbangan tenaga anda.


Suhailah: Apakah harapan anda untuk kumpulan KKMNN ataupun pencapaian yang anda harap dapat dicapai dalam masa kelak?


Safiyah: Saya berharap KKMNN dapat meneruskan perjuangan 'Jejak Kembara' yang dipelopori oleh Hadijah Rahmat dan Rasiah Halil 40 tahun lalu. Mudah-mudahan anak-anak Singapura akan bangkit semula dalam menghasilkan karya-karya dalam pelbagai disiplin dan wahana, serta merancakkan kembali dunia kesusasteraan Singapura.


Suhailah: Sila kongsi pandangan Dr Roszalina mengenai projek ini dan pencapaian KKMNN. Apakah harapan Dr Roszalina buat masyarakat Melayu atau KKMNN pada masa hadapan?


Dr Roszalina: Sebagai pensyarah penasihat Perbayu NTU-NIE, saya cukup kagum dengan tertubuhnya KKMNN. Ia merupakan satu pergerakan dalam dunia sastera Melayu Singapura yang dipelopori para penulis muda, dari golongan Millenials, yang sering dikecam kerana kononnya mereka sudah lupa jati diri mereka sebagai seorang Melayu. Penubuhan KKMNN menyangkal pandangan ini kerana ia membuktikan ada kesedaran dan minat yang tidak perlu dipaksa-paksa, tetapi lahir secara semulajadi dalam diri mahasiswa Melayu untuk berkarya dalam Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris. KKMNN tidak bersikap sangsi terhadap Bahasa Inggeris, ataupun melihatnya sebagai satu cabaran kepada Bahasa Melayu, malah mereka menggunakan Bahasa Inggeris itu untuk menajamkan lagi pemikiran mereka tentang sastera yang dihasilkan.


Jika kita perhatikan, setiap terjemahan karya dalam 'Antologi Cerpen dan Sajak: MM Mm mm' begitu menepati citarasa karya yang asalnya dalam Bahasa Melayu. Tentunya, kebolehan ahli KKMNN untuk mengalih bahasa setiap karya yang dihasilkan kepada Bahasa Inggeris amat membanggakan. Gerakan seperti ini adalah nafas dan tenaga baru yang kita perlukan untuk menggalakkan lebih ramai remaja dan orang-orang muda Melayu yang mungkin belum yakin dengan kebolehan mereka bersastera dalam Bahasa Melayu untuk terus sahaja menulis dan cuba melahirkan isi hati mereka tanpa rasa ragu-ragu. Ini kerana apa sahaja yang mereka luahkan, boleh diperhalusi lagi melalui proses rentas cipta dan alih bahasa seperti yang dibuktikan oleh KKMNN.


Malam Sastera PERBAYU telah membuktikan bahawa anak-anak muda kita berbakat dalam penulisan dan mampu melakukan lebih daripada sekadar meletakkan pena ke atas kertas. Mereka berjaya mengintepretasi dan menghidupkan karya penulisan mereka melalui tarian, nyanyian, drama dan dikir barat. Tahap intelektualisme yang dipaparkan cukup tinggi. Syabas kepada KKMNN.

___________________________________________________________________________


Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak. Tiap-tiap usaha itu perlu ketabahan dan kerajinan. Semoga usaha murni untuk melestarikan bahasa dan kesusasteraan Melayu ini dijalinkan dengan niat ikhlas untuk kemajuan bangsa dan agama. Akhir kata, tak ada gunung yang tinggi yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang dalam yang tak dapat dituruni. Wa billahi taufiq wal hidayah, wasalam.


Shafie Hussein