Syair : Aksara dan Irama

SYAIR?!

Apakah itu syair?

Bolehkah saya menulis syair?

Buat apa saya menulis syair?

Senang keeee?

Ahhh…

Teruskan baca artikel ini ya.

Kami akan beritahu anda tentang cara penulisan syair!


Pada 12 hari bulan Ogos 2021, Kalimah Baiduri telah menganjurkan siri bengkel syair yang berjudul “Syair: Aksara dan Irama”.


Tujuan bengkel ini ialah untuk memperkenalkan dan mendedahkan cara penulisan syair kepada mahasiswa-mahasiswi NTU-NIE termasuk orang awam. Menerusi sesi bengkel tersebut, cara penulisan syair, mendendangkan syair mengikut irama yang berpelbagai, serta mengenal pasti fungsi syair dalam menyimpan khazanah keilmuan agama, budaya dan sejarah Melayu telah dikongsikan. Menarik sekali!


Sebagai seorang individu yang baru ingin berjinak-jinak dalam seni penulisan Melayu, saya berasa amat beruntung kerana sekali lagi, kami dapat menimba ilmu mengenai penulisan daripada seorang penulis muda tempatan, Cikgu Muhammad Khairool Haque. Beliau merupakan seorang penggiat syair dan telah menulis beberapa naskhah. Antara buku yang dihasilkan berjudul “Syair Asas Ugama” . Dalam syair tersebut, beliau menukil makna-makna di sebalik 40 hadis Nabi Muhammad S.A.W. yang dikumpulkan oleh Imam Nawawi.


Menerusi sesi perkongsian oleh Cikgu Khairool Haque, para hadirin sedikit sebanyak dapat membayangkan tentang cara bagaimana kita boleh meraih sumber inspirasi untuk penulisan! Bagi diri saya, inspirasi penulisan ini boleh digarap dengan memberikan perhatian kepada perkara-perkara di sekeliling kita, meskipun ianya sekadar secawan teh panas di hadapan mata.


Namun, sebelum kita menulis, sewajarnya kita membina naluri seorang penulis. Naluri ini yang akan memberi kita peluang untuk menterjemahkan apa yang didengar dengan telinga, dilihat dengan mata, dan dirasa dengan perasaan dan jasmani kepada perkataan yang tersusun dalam bentuk yang indah untuk menyampaikan satu idea atau pendapat.


Namun, mesti anda tertanya-tanya, bagaimana kita dapat membina naluri tersebut?


Sebelum menulis, kita perlu tahu beberapa perkara :

  • Apakah itu syair?

  • Siapakah yang membawa syair ke dalam dunia Melayu?

  • Apakah rahsia yang terkandung dalam syair?


Bengkel dimulakan dengan pengenalan tentang perkataan “syair”. Perkataan ini adalah pinjaman daripada bahasa Arab yang dibentuk daripada huruf shin, ‘ain dan ro’. Wajari kita maklum, masyarakat Arab juga mempunyai khazanah syair. Namun, struktur syair mereka lebih rumit jika dibandingkan dengan syair-syair Melayu. Ini menunjukkan keterikatan dunia Arab dan dunia Melayu. Namun, adakah ini perkara yang mengejutkan? Semestinya tidak! Ini kerana sosok yang mengenalkan dunia Melayu kepada syair iaitu Shaykh Hamzah Fansuri, merupakan seorang ulama’ dari Aceh. Tidak dapat tidak, pasti ada pesanan-pesanan berunsur agama yang tersemat dalam syair. Sebagai contoh, Raja Ali Haji menulis sebentuk syair yang mendidik pembacanya tentang haidh (atau keadaan ‘datang bulan’) dalam permasalahan hukum-hakam agama (juga dikenali sebagai Fiqh). Sila lihat kutipan yang berikut:


Sekurang-kurangnya haid sehari semalam,

Banyaknya lima belas hari dan malam,

Pertengahannya itu ghalib dan am

Enam tujuh hari tetaplah kalam.


—Syair Siti Sianah


Pasti anda tertanya-tanya, takkanlah syair hanya untuk agama? Tidak, bukan begitu. Penggunaan syair ini amat luas sehinggakan ia merangkumi kehidupan harian seseorang maka itu representasinya juga luas. Dengan ini, seseorang dapat meluahkan perasaan mereka, mencatatkan sejarah, serta menghiburkan hati orang dengan syair bersifat lucu.


Cara Penulisan Syair


Sebelum kita meneliti satu rangkap syair, mari kita lihat bagaimana cara menulis syair.


Secara am, berikut ciri-ciri syair:


  • Setiap rangkap (atau rangkap) ada 4 baris

  • Dalam satu baris, ada 4 perkataan

  • 8 hingga 12 suku kata pada setiap baris

  • Rima akhir syair adalah a-a-a-a (namun ada juga penyair yang lebih fleksibel dalam gaya penulisan mereka)

  • Penggunaan gaya bahasa seperti imageri, simbol, aliterasi, metafora dan lain-lainnya


Menerusi struktur penulisan, kita maklum bahawasanya penulis syair itu perlu menguasai ilmu linguistik seperti ilmu tatabahasa (seperti penyusunan ayat, imbuhan dan sebagainya), kosa kata yang luas serta ilmu-ilmu lain yang dapat memberi nilai kepada syair. Selain daripada itu, perlu untuk seorang penyair mempunyai dorongan untuk meneliti sekeliling beliau melalui penglihatan, pendengaran, perasaan dan hati yang bersedia untuk menterjemahkan perkara-perkara tersebut ke dalam perkataan.


Demikian itu, kita juga maklum akan keterikatan penulisan dengan peribadi seseorang individu itu. Tentunya, seorang penulis perlu teliti dengan perkataan-perkataan yang dipilih supaya sesuai dengan pesanan yang ingin disampaikan.


Akhir sekali, sebagai seorang penulis, ianya penting untuk memastikan agar minda kita senantiasa terbuka, serta tidak lekang daripada pujian dan kritikan orang lain terhadap tulisan kita.


Mari kita meneroka satu bab dalam sejarah Singapura melalui syair Munshi Abdullah:


Ada beberapa jenis kelakuan manusia kulihat

Ada yang mencuri terlalu cepat

Ada yang pura-pura menolong-nolong angkat

Ada yang disorokkannya sebarang tempat.


—Syair Kampong Gelam Terbakar


Daripada tajuk syair ini sahaja, kita mendapat kiasan bahawasanya syair ini akan menggambarkan tentang kisah Kampong Gelam yang telah terbakar pada 12 Februari 1847.


Menerusi rangkap ini, Munshi Abdullah memberikan gambaran tentang perangai manusia yang berlainan. Penulis memulakan setiap baris dengan perkataan “ada”. Dalam aliran sastera, pengulangan tersebut dinamakan aliterasi. Aliterasi memberikan gambaran tentang ketegasan penulis dalam menguatkuasakan kepercayaan beliau mengenai kewujudan beberapa jenis orang yang digambarkan di setiap baris. Dapat dilihat juga bahawa setiap baris syair ini berakhir dengan suku kata “at”.


Tambahan lagi, Munshi Abdullah kelihatan lebih fleksibel dengan penulisan beliau. Baris kedua menggunakan frasa “terlalu cepat” seolah-olah ingin memberi gambaran tentang sifat manusia yang tersembunyi yang dizahirkan apabila keadaan mengizinkan. Tidak mungkin seseorang itu akan bertindak dengan cepat jikalau perkara itu tidak terletak dalam minda ataupun secara naluri. Menariknya juga, di baris yang seterusnya, Munshi Abdullah menggunakan perkataan “angkat”. Perkataan ini menggambarkan secara literal tentang aksi mengangkat sesuatu. Namun, secara kiasan, perkataan ini juga boleh digunakan untuk menunjukkan unsur pujian yang bersifat keterlaluan. Adakah mungkin Munshi Abdullah ingin memaklumkan sesuatu tentang hal politik pada masa itu? Adakah Kampung Gelam merupakan satu metafora untuk sesuatu yang lebih mendalam selain sesuatu tempat secara literalnya? Adakah kebakaran tempat itu memberi petunjuk kepada satu kemusnahan sekumpulan orang?


Jelas sekali, syair sungguh penuh dengan makna.


Selain daripada mempelajari tentang penulisan syair, kami juga berpeluang untuk belajar tentang aneka irama syair!


Ilmu tersebut telah disampaikan oleh Afi Hanafi semasa sesi kedua. Afi atau nama sebenarnya, Hanafi Idrus, merupakan penggiat muda dalam bidang seni budaya Melayu. Beliau juga bergelar seorang seniman yang pernah mewakili Singapura di Festival Syair Internasional di Tanjung Pinang. Setelah itu, beliau diberikan gelaran ‘Biduan Syair’ oleh Balai Pelestarian Nilai Budaya Kumpulan Riau. Selain itu, beliau merupakan pengasas kumpulan pendendang syair ‘Syairpura’.


Bengkel irama syair dimulakan dengan pengenalan kepada pelbagai nama irama syair serta demonstrasi bagi setiap irama. Kami berpeluang untuk mempelajari 8 irama syair bersama Afi Hanafi, dan mencatatkan ciri-ciri irama seperti berikut:


  1. Irama Selendang Delima – bersifat santai dan sangat generik, barisnya berbeza

  2. Irama Siti Zubaidah – versi Semenanjung berbanding dengan versi Pekanbaru – sedikit keras dan intonasinya seakan-akan menerjah

  3. Irama Perang – berasal dari Pekanbaru, mulanya lembut

  4. Irama Narasi – untuk mengumpan penonton, “irama sarawak”, ada dua bahagian: bait puisi atau ayat (dua rangkap pertama) dan bahagian korus -- korus tinggi, turun sedikit selepas itu bersifat tenang

  5. Irama Batu Belah – asli budaya di Malaysia

  6. Irama Hiasan – ada intonasi yang menurun

  7. Irama Dodoi – ada intonasi yang menaik

  8. Irama Rawi – besar suara penyairnya, mengungkap perasaan


Afi berkongsi bahawa setiap daripada irama ini mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Penggunaan irama-irama ini bergantung kepada pesanan yang ingin disampaikan oleh syair tersebut.


Selain itu, kadang kala, seseorang pendendang perlu menambah atau membuang suku kata untuk menyesuaikan syair dengan irama yang digunakan. Namun, mereka akan cuba sedaya upaya untuk mengelakkan perkara tersebut kerana perkara tersebut kelihatan tidak sopan.


Sesi ini dilanjutkan dengan segmen kuiz untuk mengenal pasti irama-irama syair dan mendendangkan syair dengan menggunakan salah satu irama yang dipelajari. Seronok sekali! Para peserta sungguh bersemangat cuba sedaya upaya mereka untuk mendendangkan syair. Malah, ada yang sampai berduet! Fuyooh!


Akhir kata…


Mari membaca syair kerana syair melatih kita untuk melihat dunia lebih daripada apa yang wujud di hadapan kita. Malah, penting agar kita mengingati tentang warisan aneka irama syair yang indah lagi menghidupkan.


Semoga ilmu yang diperoleh daripada perkongsian Cikgu Muhammad Khairool Haque dan Afi Hanafi dapat memberi manfaat kepada para peserta. InsyaAllah!