Siri Serambi Sastera

Sastera Sebagai Teguran

Pada bulan 16 Disember 2020 lalu, Kalimah Baiduri telah mula mengadakan bengkel bersiri Siri Serambi Sastera. Bengkel ini diadakan pada setiap minggu sehingga 13 Januari 2021. Siri Serambi Sastera merupakan siri bengkel yang bertujuan untuk memperkenalkan para mahasiswa-mahasiswi NTU-NIE kepada empat jenis genre dalam penulisan sastera Melayu – sajak, syair, pantun dan prosa.


Kami sangat beruntung kerana diberi peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman menulis bersama Khairool Haque. Beliau merupakan seorang penulis tempatan Singapura yang telah menghasilkan beberapa karya seperti Iftitah dan Anak Waktu Belajar Diam. Khairool Haque juga telah memenangi pelbagai anugerah penulisan seperti Anugerah Penulis Muda ASEAN (ASEAN Young Writers Award).


Meneroka Mesej Murni melalui Sajak


Secara ringkas, sajak ialah puisi yang tidak mempunyai struktur tertentu. Ia merupakan tulisan yang berbentuk rangkap dan mempunyai citra (imagery) dan juga cerita ataupun mesej yang ingin disampaikan. Salah satu sajak yang telah dikongsi merupakan sajak Hynah: Kisah Banjingan Malam oleh Noridah Kamari, seorang penulis setempat. Dalam sajak beliau (seperti yang tertera di bawah), beliau mengutarakan mesej tersirat tentang golongan orang yang suka mengumpat. Gambaran beliau ini berdasarkan hadis oleh Nabi Muhammad S.A.W. yang telah berpesan bahawa seseorang yang mengumpat itu ibarat memakan bangkai saudaranya sendiri.


Dalam sajaknya ini, kita lihat betapa indahnya gambaran yang digunakan oleh Dr. Noridah untuk menyampaikan mesejnya. Sebagai contoh, sebelum Dr. Noridah mengedepankan makhluk Hynah dalam puisi beliau, beliau memberi gambaran menerusi pergerakan makhluk ini. Ini boleh dilihat daripada, “taringmu dijilat diketap digilap diasah meruncing tajam”. Kita juga diberi gambaran sesuatu makhluk yang liar dan bahaya. Jikalau kita ingin mengaitkan ini kepada seseorang yang mengumpat, kita boleh melihat yang Dr. Noridah memberi metafora bahawasannya seseorang yang mengumpat itu sungguh merbahayakan dan perlu dijauhi.


Penulis pun berkata, “dalam tawa ada kesumat dendam”. Menerusi ini, kita pun mula menyoal, adakah makhluk ini seekor binatang atau seorang manusia? Bagaimana mungkin seekor binatang itu mempunyai dendam seperti kita manusia? Maka dengan ini, Dr. Noridah membuat pembaca lebih berminat untuk mengetahui jalan cerita puisi ini. Contoh seterusnya, “saat syamsu karam di telunjuk purnama”. Dr. Noridah tidak terus mengatakan bahawa ini adalah malam hari, namun beliau memberi deskripsi malam menerusi matahari yang tenggelam langsung bulan pun timbul. Ini memberi efek dramatik. Melalui efek dramatik ini, Dr. Noridah seolah-olah mengaitkan malam dengan bahaya yang akan datang. Melalui gambaran-gambaran ini, kita ditarik masuk ke dalam satu ruang yang menyedarkan kita dengan teguran yang beralas namun padat dengan makna yang mendalam. Jikalau sebelum ini kita memikirkan kelakukan mengumpat itu sebagai sesuatu yang ringan, Dr. Noridah telah memberi gambaran kepada kita akan buruknya kelakuan ini menerusi gambaran seekor binatang yang bahaya.


Menulis untuk Siapa?

Selain itu, dalam bengkel bersiri ini, Khairool juga telah berkongsi pengalamannya dan banyak memberi nasihat mengenai penulisan dan isu-isu yang timbul tatkala seseorang menulis. Kami telah mempelajari bahawa setiap penulisan itu sewajarnya mempunyai mesej tertentu agar ia dapat menjadi satu penulisan yang bermanfaat dan bermutu. Namun demikian, kita tidak perlu memaksa diri untuk menulis atas nama menghiburkan atau mengingatkan masyarakat. Malah,boleh sahaja kita menulis untuk diri sendiri tetapi mampu memberikan kesan kepada orang lain yang membaca.


Keringnya Dakwat Pena, Matinya Penulis

Ada satu pepatah yang mengatakan bahawa tatkala seorang penulis menerbitkan penulisan beliau, maka hilanglah kuasa beliau terhadap penulisan tersebut kerana kini, orang ramai akan memberi penukilan mereka terhadap penulisan tersebut. Perkara ini seolah-olah menggambarkan penulis sudah mati. Dengan penukilan orang ramai, datanglah pelbagai pertikaian tentang idea dan cara menulis. Namun, adakah seseorang penulis itu tidak berkuasa terus dalam mempertahankan penulisan beliau?


Tentu sekali tidak begitu. Sebagai penulis, boleh sahaja kita mempertahankan dan memberi pemahaman yang benar dalam penulisan kita untuk mengelak daripada fitnah atau salah tafsir lagi-lagi jikalau penulisan itu berunsur agama. Perkara ini telah memberi saya satu gambaran bahawa seorang penulis itu seperti seseorang yang berada di tengah medan perang, senantiasa terbuka kepada tembakan peluru (tidak kira daripada pihak kawan atau lawan). Dengan ini juga, kita sebagai penulis harus melapikkan ilmu dalam penulisan dan tidak menulis secara kosong supaya boleh kita memberi pencerahan jikalau perlu. Inilah antara nasihat-nasihat yang diberi Khairool. Mungkin ada yang akan menyoalkan maksud di sebalik penulisan itu. Namun, seorang penulis tidak semestinya harus berdiam diri kerana beliau juga mempunyai hak untuk mempertahankan penulisan beliau.


Menghormati Pelopor Masyarakat, Menyambut Pelapis Masyarakat

Secara peribadi, saya rasa lebih bersemangat untuk meneruskan penulisan sastera dalam bahasa Melayu. Meskipun saya masih mempelajari cara menulis karya, saya percaya bahawa penulisan dalam bahasa Melayu merupakan wadah untuk menyebarkan ilmu, kebaikan dan nasihat dengan cara kreatif dan menarik. Boleh sahaja kita menggunakan penulis-penulis yang lama sebagai rujukan atau ilham, namun penting juga untuk kita mencari suara sendiri yang sesuai dengan pembaca masa kini supaya sastera Melayu terus progresif, kekal relevan dan dipikul terus oleh generasi akan datang.


Nurul Aini Binte Ithnin