Siri Pantun Bulan Rejab

Tersergam indah tidak pula goyah,

Di atas bukit, rumah walikota,

Mengimbas kembali Sirah Nabawiyah,

Mengenal Rasul, junjungan tercinta,


Harum semerbak baunya halia,

Membuat rasa tenang dan tenteram,

Bulan Rejab, suci lagi mulia,

Satu antara empat bulan haram,


Disiang dipotong si ikan jenahak,

Dimasak singgang, lauk orang lama,

Isra’ dan Mi’raj peristiwa mustahak,

Turunnya perintah solat yang lima,


Terduduk sopan si anak gadis,

Berbudi pekerti menjaga tingkah,

Perjalanan malam ke Baitulmaqdis,

Menaiki Buraq dari Makkah,


Negeri Melaka, negeri berdaulat,

Dikenali bangsawan dan rakyat umum,

Di Masjidil Aqsa mengimamkan solat,

Para Nabi dan Rasul menjadi makmum,


Teh O dibuat ditambahkan gula,

Disiap untuk rapat panitia,

Dimi’rajkan naik ke langit pula,

Bertemankan Jibril pendamping setia,


Berpindah-randah resmi orang nomad,

Hidup sederhana keras berusaha,

Begitu istimewa Nabi Muhammad,

Bertemu Allah di Sidratul Muntaha,


Terlihat pelangi pelbagai warna,

Sambil berehat di tepi lokan,

Pulang ke Makkah, difitnah dihina,

Isra’ Mi’raj menjadi ejekan,


Dimasak lemak si pucuk ubi,

Sayangnya tidak digemari belia,

Datang Abu Bakar membenarkan Nabi,

As-Siddiq menjadi gelaran mulia,


Indahnya Bahasa ahli seni,

Bahasa budaya sudah sebati,

Moga dengan imbasan ini,

Meningkatlah iman di dalam hati!


Muhammad Haziq Bin Mohammed Shahrin