Seruan Bagi Melayu Abad Kedua Puluh Satu

Kesusasteraan merupakan suatu alat yang boleh digunakan sebagai pemangkin semangat dalam menyuntik kesedaran mengenai isu sosial yang melanda kehidupan masyarakat. Warkah singkat ini akan menyentuh hasil karya sastera bentuk sajak yang ditulis oleh Usman Awang bertajuk ‘Melayu’ yang terdiri daripada 79 baris dan merupakan sajak terakhir tulisan beliau yang diterbitkan di Akhbar Mingguan Malaysia, 27 Oktober 1996. Karya seni penting untuk membawa perubahan yang positif dengan mengakis fahaman yang kolot dan mundur yang membeku dalam jiwa rakyat. Gambaran keadaan masyarakat sedemikian termaktub dalam sajak ‘Melayu’ beliau dalam rangkap yang ke-7:


Meski telah memiliki telaga

Tangan masih memegang tali

Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi


Rangkap ini menyingkap keadaan masyarakat Melayu yang tidak progresif dalam arus perkembangan hidup. Ketidakpekaan masyarakat Melayu tentang kemajuan yang telah dikecapi, seperti kemerdekaan negara, pemilikan tanah dan pemajmukan pelbagai kaum harmonis yang boleh membuka peluang dalam perniagaan dan lantas perkembangan ekonomi, telah menghambat perkembangan mereka ke arah kemajuan.


Keluhuran dan ketajaman Usman Awang dalam menyentuh dan meneliti persekitaran masyarakat Melayu dalam pengkaryaan hasil sastera beliau telah memberikan suntikan semangat yang jitu dalam jiwa masyarakat untuk membangkit ke arah pembangunan. Dengan itu, pada saat-saat akhir kehidupan beliau, Usman Awang berseru kepada bangsa Melayu abad kedua puluh satu. Seruan beliau jelas terungkap dalam dua rangkap terakhir:


Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu

Masihkah tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang

Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan

Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan

Jika percaya keadilan.


Jadilah bangsa yang bijaksana

Memegang tali memegang timba

Memiliki ekonomi mencipta budaya

Menjadi tuan di negara Merdeka.


Shafie Hussein