Rentung: Kejengkelan atau Keinsafan?

Puisi ini menjadi sebuah hasil penulisan yang jelas mendatangkan ketidakselesaan kepada sesiapa yang membaca. Penulis telah mengambil pendekatan yang amat deskriptif dengan membayangkan “kematian” yang jelas menunjukkan ketidakupayaan seseorang melakukan apa sahaja yang boleh dikira “hidup”. Jelas, penulisan ini boleh membawa pelbagai maksud dan intepretasi kepada sang pembaca dan menjadi introspeksi diri masing-masing. Yang jelas, karya ini telah menimbulkan usulan perasaan yang menjengkelkan dan seolah membuat pembaca tidak diam kedudukan apabila menyelami dan mengalami penulisan ini.


Puisi ini dikategorikan di bawah bahagian “mm” di dalam buku antologi MMMmmm keluaran Kumpulan Karyawan Melayu NTU-NIE, kumpulan bahasa NTU PERBAYU. Pelbagai intepretasi boleh diperlihat dengan melihat apa itu “mm” pada setiap pembaca. Sememangnya, secara umum, “mm” melihat kepada kritikan peribadi seseorang individu kepada identiti Melayunya – seolah tidak selesa dengan apa yang dianggap Melayu oleh seseorang itu sendiri. Nah, yang dilihat di dalam puisi ini adalah sekilas dan lebih perasaan yang mendatangkan ketidakselesaan itu.


Pendekatan yang digunakan penulis begitu teratur, dengan memaksa pembaca membayangkan keadaan sebenar dari segi fizikal dengan bait-bait seperti


“jasad kaku membatu


dihempap runtuhan”


(R1B3-4)


telah dapat memastikan bahawa sebuah representasi maujud dapat dilihat. Bayangan sebegitu sukar untuk dielak oleh pembaca – dan perasaan yang mengikuti jelas mendatangkan ketidakselesaan yang mungkin diinginkan oleh penulis. Representasi lain yang dapat dilihat juga adalah kepada penggunaan daya sentuh yang hadir di dalam setiap individu. Dengan menggunakan bait-bait seperti “meleler berdarah”, ianya memberi pembaca bayangan yang jelas tentang aliran dan gerak yang dilihat dan dirasa. Kekuatan yang ada pada bait-bait sebegini adalah impak dan kesan yang dibawa. Sebagai pembaca, ianya mendatangkan kejanggalan yang teramat sehinggakan saya menjadi sukar membaca keseluruhan puisi inì.


Yang lebih menarik adalah cara penulis mengaitkan ketidakselesaan yang telah dicipta dengan konsep-konsep yang menjadi tunggak di sebalik bahagian “mm” dalam buku antologi ini. Penulis menggunakan ketidakselesaan yang dirasai sebagai ikatan perihal kerapuhan nilai, pedoman, usaha dan asa. Apakah yang menjadi penyebab kerapuhan kita sebagai sebuah bangsa yang memegang erat identiti “MELAYU” namun senang tidak selesa dengan ketidakupayaan yang ada? Puisi ini begitu efektif menunjukkan penyeksaan yang bertentangan dengan keinginan untuk memegang identiti sebagai Melayu. Kesedaran yang telah dititip penulis di dalam puisi ini bukan sahaja membuat sang pembaca tidak reti duduk, malah mungkin mula berundur dan menjadi terikat dengan pemahaman dan keselesaan sendiri.


Apa yang menarik, adalah puisi ini boleh mendatangkan pelbagai pemahaman dan pencernaan sendiri. Mungkin untuk saya, ianya mendatangkan ketidakselesaan. Namun, kepada pembaca lain ianya boleh sahaja mendatangkan kekhilafan, keinsafan dan lain-lain lagi. Yang jelas, puisi ini boleh dikatakan sebuah puisi yang membakar diri atau dalam istilah slanga Inggeris “burn”. Hakikat yang sukar dilihat di sebalik semua keangkuhan kemelayuan dan identiti yang dipegang sememangnya diungkap, disingkap dan dibentang di hadapan mata sang pembaca.


Dan mungkin sahaja, itu yang dimaksudkan oleh penulis?


Oleh Siti Rezkiah