Ramadan Yang Mulia: Satu Introspeksi

Puisi yang bertajuk ‘Ramadan Yang Mulia’ ini dilakarkan oleh mahasiswi NIE, Nur Afiqah Binte Hassan. Puisi ini bersifat ringkas dan mudah dibaca serta difahami setiap lapisan masyarakat dengan pemilihan katanya yang tidak begitu sukar dan abstrak. Namun pun begitu, puisi ini berjaya menggambarkan suasana dalam bulan suci Ramadan, sesuai dengan apa yang ingin disampaikan penulis. Corak puisi ini bersifat diskriptif yang mana penulis menggunakan pancaindera dalam menggambarkan suasana bulan Ramadan. Pendekatan ini sesuai kerana berjaya membuat para pembaca membayangkan sendiri bagaimana suasana bulan Ramadan yang begitu indah sekali seperti mana yang disampaikan penulis. Antara deria yang diselitkan penulis ialah deria pendengaran seperti dalam bait ‘Laungan azan berkumandang dengan sangat syahdu’ dan juga deria ucapan seperti dalam ‘Dihiasi ungkapan maaf yang bebalut puisi mesra’.


Puisi yang ringkas ini hanya mengandungi empat rangkap, jumlah baris dalam setiap rangkap tidak tetap, di antara 2 hingga 5 baris. Rangkap pertama dimulai dengan gambaran bulan Ramadan secara amnya seperti niat yang ditanam dalam setiap umat Islam untuk membuat kebajikan serta masjid dan musollah yang akan dipenuhi jemaah untuk beribadah, sesuatu fenomena yang jarang dilihat dalam bulan-bulan Islam yang lain. Dalam rangkap kedua, penulis menggunakan deria pendengaran dengan menggambarkan laungan azan yang berkumandang dengan syahdunya sehingga membuat para jemaah rasa tersentuh mendengarnya. Pemilihan kata seperti syahdu, tersentuh dan menusuk kalbu pasti akan membangkitkan rasa ingin tahu para pembaca dalam menggambarkan laungan azan yang dikumandangkan.


Rangkap ketiga dan keempat pula menggambarkan nilai-nilai murni yang ditonjolkan umat-umat Islam dalam bulan Ramadan seperti sifat ihsan, bersatu padu dan juga saling bermaafaan satu sama lain. Bulan Ramadan adalah bulan yang di mana pintu rahmat dibuka luas dan setiap kebajikan itu dibalas dengan pahala yang dilipat ganda, berbanding dengan bulan-bulan Islam yang lain. Oleh itu, penulis dalam rangkap ini ingin menyampaikan pelbagai amalan baik yang dilakukan umat Islam dalam bulan Ramadan seperti bersatu padu, bertegur sapa, meminta maaf antara satu sama lain serta menukar juadah antara jiran tetangga. Natijahnya, bulan Ramadan memberikan kita peluang untuk kita tingkatkan amalan baik kita. Secara keseluruhannya, puisi ini berjaya menggambarkan kepada para pembaca, suasana bulan Ramadan yang begitu indah dan mulia sekali.


Oleh Nurain