Pukul Empat Pagi

Mata kuyu

namun jegil

Otak buntu

namun sedar

Jasad lelah

namun tabah

Hati berdenyut

namun gemuruh


Aksara beratur di kertas berbaris,

Mendambakan perhatian sang pewaris.

Yang dikesan mata terbang ke minda,

Yang sampai ke hati, kekal selamanya.


Aksara berdakap, mengeratkan diri,

Dalam kehimpitan, wujud kehangatan,

Yang cuba menghidupkan hati mati,

Yang pernah wujud sebuah taman.


Entah berapa bunga yang telah layu,

Akibat diri terlalu giat ingin maju.

Maju sehingga akhirnya minda bercelaru,

Tanpa menikmati kedinginan sang bayu.


Dan manusia pun rebah, melutut, merayu...

Mengharapkan urusan dipermudahkan selalu,

Tangan ditadah dengan perasaan malu,

Masih adakah harapan buatku?


Dan manusia rebah, melutut lagi,

Menitiskan air mata, penuh terharu.

Manusia sujud sebak di hati,

Tatkala cinta Ilahi menusuk kalbu.


Farah Adibah