Peranan pantun dalam masyarakat Melayu

Pantun yang asalnya turun-menurun melalui lisan, telah dikesan dalam bentuk tulisan pada sekitar abad yang kelima belas iaitu dalam Sejarah Melayu yang berbunyi sedemikian;


Telur itik di Singgora,

Pandan terletak dilangkahi;

Darahnya titik di Singapura,

Badannya terhantar di Langkawi.


Jelaslah bahawa apabila kemahiran menulis itu telah sampai ke tanah Melayu, penggunaan pantun sebagai bentuk pengungkapan dan pengucapan sudah pun meluas dan murni. Semenjak orang Melayu tahu surat-menyurat dahulu pun mereka telah pandai berpantun dan biasa berbalas-balas pantun antara sesama sendiri.


Sebagai salah satu cabang kesusasteraan Melayu yang tertua, pantun telah memainkan peranan yang penting dalam mencerminkan perhubungan yang rapat antara masyarakat Melayu dan kesusasteraan Melayu. Penelitian terhadap sebuah pantun dapat memberikan gambaran minda dan pemikiran masyarakat Melayu. Penyataan ini bukan sahaja disepakati oleh sarjana yang berbangsa Melayu, malahan sarjana Barat seperti R. J. Wilkinson dan R. O. Winstedt juga pernah menyarankan bahawa untuk memahami perasaan orang Melayu seharusnya difahami pantunnya.


Pantun membawa atau menyatakan budi dan jiwa orang-orang Melayu. Orang-orang Melayu menitikberatkan sifat sopan santun, tatasusila dan budi bahasa dalam perlakuan, termasuk tutur kata mereka. Sudah diterapkan dalam nilai Melayu sebagai tidak sopan apabila sesuatu itu disampaikan secara langsung.


Shafie Hussein