Penularan Wabak Covid-19: Mengambil Iktibar daripada Dinasti Han

Pada akhir tahun 2019 dan awal tahun baharu 2020, dunia telah dilanda wabak Covid-19. Seperti yang kita maklum, punca mulanya wabak tersebut adalah daripada provinsi Wuhan di Hubei, Cina. Angka pesakit yang dijangkiti wabak tersebut terus meningkat di negara itu. Namun, belum sempat wabak itu dikawal, ia telah pun sampai ke beberapa negara terutama sekali di kawasan Asia dan menjejas para penduduknya. Malah, Singapura tidak terkecuali dalam hal ini.


Penularan wabak ini bukan sahaja mencetuskan panik dan takut secara jagat. Namun, ia juga telah menimbulkan pergolakan emosi dan memperlihatkan perasaan-perasaan yang mungkin selama ini terpendam dalam khalayak ramai. Perasaan seperti geram (terhadap penularan yang semakin menjadi-jadi), jijik (terhadap mereka yang sakit atau yang bekerja tungkus-lumus untuk tidak melarutkan keadaan yang semakin lama semakin suram) dan akhirnya, sentimen yang bersifat perkauman. Ramai individu telah meletakkan komen-komen mereka di media sosial mengenai penularan wabak ini dan ada di antaranya bersifat perkauman dan sensitif terutama sekali terhadap masyarakat Cina (People's Republic of China).


Di Singapura, apabila Kementerian Kesihatan (Ministry of Health) menaikkan tahap penilaian risiko (DORSCON) dari kuning ke jingga, ia telah mencetuskan keresahan dan panik dalam kalangan warga Singapura sehingga menyebabkan ramai yang tergesa-gesa ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan seperti beras, mi segera dan sabun. Selain daripada itu, tersebar luas di media sosial seperti di Twitter dan Instagram kisah-kisah tentang diskriminasi terhadap para pekerja kesihatan bahawasanya mereka kotor dan membawa virus tersebut.


Daripada beberapa anekdot ringkas yang telah dikongsi, ia menunjukkan bahawa masyarakat sejagat belum lagi bersifat daya bingkas dalam menghadapi cabaran global seperti wabak Covid-19 ini. Oleh yang demikian, tujuan artikel ini adalah untuk menunjukkan bahawa kita harus mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa lalu dalam sejarah.


Semasa zaman akhir Dinasti Han (206BC – 220AD), Cina dilanda beberapa epidemik. Beberapa pengkaji berpendapat bahawa epidemik-epidemik inilah yang telah menyebabkan kejatuhan Dinasti Han. Jika diteliti beberapa puisi dan sajak yang ditulis pada zaman itu (lihat penulis-penulis seperti Tao Qian), kita dapat menganalisis bahawa rakyat-rakyat negara Cina juga dilanda kecelaruan perasaan yang sangat mendalam tentang keadaan mereka. Ada yang melarikan diri ke kawasan yang sepi dan ada yang berhijrah ke kawasan perairan, supaya dapat menjauhkan diri daripada penyakit yang menular itu. Oleh kerana terlampau banyak kematian dan pelarian diri dari ibu negara Dinasti Han, ia telah menyebabkan keruntuhan Dinasti Han.


Meskipun begitu, terdapat juga pengaruh atau kesan positif daripada apa yang dilalui ketika itu. Merujuk kembali kepada apa yang dikatakan di atas, pada zaman itu, timbul banyak penulisan-penulisan kreatif penuh dengan kegembiraan, angan-angan dan kehibaan antara yang lain. Agama-agama seperti Buddhisme dan Konfusianisme menjadi lebih terkenal dan terbuka kepada orang awam. Perkara ini disebabkan nilai-nilai murni dan ciri-ciri agama yang sesuai dengan zaman yang penuh dengan keresahan itu. Darihal itu, jumlah penganut Buddhisme meningkat. Bukan itu sahaja, agama-agama tersebut menggalakkan lebih ramai rakyat untuk berbaik-baik antara satu sama lain dan juga mengajak penganutnya untuk sentiasa berada dalam keadaan meditasi dan renungan. Walaupun jatuhnya sebuah dinasti, tidak sepatutnya jatuh nilai murni khalayak ramai.


Jadi, apakah yang kita boleh pelajari daripada sejarah Dinasti Han? Bahawasanya kepayahan tidak semestinya berakhir dengan keruntuhan seluruhnya. Walaupun Dinasti Han dilanda kejatuhan, ia kemudian meraih kegemilangan dari segi nilai-nilai murni, kreativiti dan juga inovasi.


Pengajaran daripada zaman Dinasti Han ialah kita sebagai masyarakat Melayu/Islam seharusnya berpegang teguh kepada prinsip-prinsip murni agama dan bangsa seperti sikap belas kasihan kepada mereka yang bertungkus-lumus membanteras wabak ini. Dalam era globalisasi ini, kita bukan sahaja rakyat Singapura malah rakyat dunia juga. Sebagai ahli masyarakat majmuk, seharusnya kita berusaha untuk menunjukkan sikap toleransi terhadap bangsa-bangsa lain kerana kita bertanggunjawab untuk memelihara keharmonian fabrik sosial republik ini. Daripada hal demikian, wabak ini sebuah ujian yang menilai sama ada kita benar-benar sebuah negara yang berpegang teguh kepada ikrarnya.


Malahan lagi, kita harus melihat hikmah di sebalik malapetaka seperti ini. Sepertimana bencana yang melanda Dinasti Han dilihat sebagai pemangkin dalam peningkatan diri dari segi agama, kita juga sepatutnya memperbaiki diri kita dengan terus melakukan kebaikan sesama insan. Contohnya, kita boleh menunjukkan penghargaan kita terhadap mereka yang bekerja di institusi-institusi kesihatan. Kita tidak seharusnya berfikiran sempit dan meneruskan naratif bahawa “ini semua balasan dari Allah”. Ini kerana setiap kejadian yang baik atau buruk itu sememangnya rahsia Allah Yang Maha Mengetahui. Kita hanya manusia yang daif. Oleh itu, kita tidak seharusnya menghukum orang lain sewenang-wenangnya.


Sebagai warga jagat, perasaan seperti jijik dan racist tidak seharusnya mengaburi usaha kita untuk menolong dan menghormati orang lain serta mengekalkan keharmonian negara lalu menjadi suri teladan bagi negara-negara lain untuk mencontohi kita. Malah, usah kita terburu-buru untuk menyalahkan mereka yang hanya datang bekerja untuk sesuap nasi dan janganlah terlalu mudah menuduh kaum lain. Sesungguhnya yang baik daripada lembaran sejarah hendaklah kita ambil sebagai teladan dan kemanusiaan hendaklah jadi keutamaan.


Amirah