Penjajah Halus

Bahagian Pertama: Duniaku yang Sombong


Bagai katak menguak di desa,

Hiraukan gauk walaupun sesat.

Masa bergerak seperti biasa,

Duniaku sibuk giat berpesat.


Tingginya buluh memanglah resmi,

Hinggap kenari menjadi lentur.

Manusia angkuh lupakan bumi,

Bumiku ini semakin uzur.


Ayam tercuat bila diserang,

Mengakak angsa pabila marah.

Merata tempat sibuk berperang,

Merebut kuasa tertumpah darah.


Nyalakan obor ramai menggasak.

Semuanya berlumar basah lencun.

Udara kotor nafasku sesak,

Laut dicemar airnya racun.


Sejuk dan kaku petani tua,

Tetap mengharap anak kembali

Meski pun berlaku itu semua,

Manusia tetap tidak peduli.


Jumpa perigi di tepi kolam,

Tertangkap patin sangkakan kemi.

Mulanya pagi akhirnya malam,

Itulah rutin penghuni bumi.




Bahagian Kedua: Tetamu yang Tidak Diundang


Dihias bayu lautan biru,

Pelampung diikat talinya putus.

Kalendar baru azam pun baru,

Namun disekat penjajah halus.


Jentayu merah kembangkan sayap,

Mendidih laut suasana panas.

Muncul penjajah secara senyap,

Tidak dijemput datangnya ganas.


Tidak berbumbung sebuah reban,

Tibanya pagi ayam pun hilang.

Secara langsung ramai terkorban,

Penghuni bumi hairan tercengang.


Lupa digari gagal menembak,

Beri senyuman larinya banduan.

Semakin hari virus merebak,

Tiada batasan buta sempadan.




Bahagian Tiga: Penjara Rumahku


Terjumpa peti penuh permata,

Simpan si tua peti dikurung.

Semuanya terhenti serta-merta,

Disangkar semua bagaikan burung.


Terbang terbatas seekor burung,

Mendungnya awan hari pun redup.

Hilangnya bebas bila dikurung,

Tinggal kenangan mengisi hidup.


Nyala pelita jampi disemat,

Walau terbentus tetap bertahan.

Pejuang kita gigih berkhidmat,

Membasmi virus tanpa kasihan.


Nyala pelita ternampak kesan,

Kesan darah orang dibedal.

Marilah kita saling berpesan,

Duduk di rumah lebih afdal.


Putihnya awan jernihnya embun,

Menghias taman jadi sebutan.

Mencuci tangan berserta sabun,

Amalan harian dilupa jangan.


Hilang perhiasan terasa luluh,

Delima merah pula ditemu.

Bukan alasan untuk mengeluh,

Duduk di rumah mencari ilmu.




Bahagian Keempat: Baca, Tulis & Cuba


Permainya desa dinginnya cuaca,

Bermula semula seorang muflis.

Isikan masa dengan membaca,

Ciptakan karya puisi ditulis.


Munculnya embun di kota lama,

Di tengah lalang terjumpa laal.

Puisi yang santun terus bergema,

Mengisi ruang dunia digital.


Di hujung muara terlihat ketam,

Adanya rakit membawa kaca.

Susun aksara dakwatnya hitam,

Bila diterbit ramai membaca.


Dinginnya cuaca ramai bertanya,

Hujan pun lebat semuanya girang.

Puisi dibaca oleh semuanya,

Pembakar semangat untuk berjuang.


Seluruh waktu peti dipantau,

Di dalam gua tersimpannya intan.

Membaca buku karya serantau,

Dikongsi semua pembaca tempatan.


Berarak mega cerahnya cuaca,

Tiupan bayu tidak terlihat.

Pesan keluarga agar membaca,

Meraih ilmu minda pun sihat.




Bahagian Kelima: Doa Serumpun & Pejuang Negara


Tibanya pagi pesan dikirim,

Memetik daun harum mewangi.

Eratkan lagi silaturahim,

Jiran serumpun sambil berpuisi.


Petani gigih bermain nobat,

Terpikat dara berbaju kebaya.

Teknologi canggih serta hebat,

Berkumpul semua di alam maya.


Gunakan peta pergi menjauh,

Berganti hari berpegang cita.

Bersama kita berdiri teguh,

Sambil lestari bahasa kita.


Kekalkan cinta sesuci putih,

Tibanya hari kompang dipalu.

Rehatnya kita bumi pun pulih,

Agar kembali seperti dulu.


Tumbuhnya mawar di hunjung celah,

Bagai permata dijaga terus.

Usahlah gentar jangan mengalah,

Bersatu kita menewas virus.


Belia berhujah berlindung dedalu,

Tidaklah tulus niat dicurah.

Seperti penjajah yang dahulu,

Penjajah halus pasti menyerah.


Bagai dermaga dipukul ombak,

Menahan arus seluruh waktu.

Biar diduga macam nak rabak,

Berdiri terus semangat jitu.


Gunung didaki terbongkar hutan,

Kagum putera melihat pelangi.

Wahai kakitangan kesihatan,

Kamulah wira yang kami sanjungi.


Terbang kenari menuju muara,

Lihat samudera di waktu petang.

Terus berdiri wahai perwira,

Demi negara kamu berjuang.



Tamat


Muhamad Shahril Bin Samri (Pantunism)