Noul Majnun: Kegilaan Seperti Apa?

Noul Majnun. Sekali pandang, dua patah perkataan ini sudah memikat hati saya untuk mengetahui isinya dengan lebih lanjut. Dari lensa penyunting antologi ini, puisi ini merupakan masukan terakhir. Namun, kehadiran puisi pastinya berbaloi. Ini kerana ia memberi antologi ini suatu kelainan dari segi peranti gaya (“stylistic device”).


‘Noul Majnun’ mengingatkan saya tentang sepasang kekasih yang masyhur iaitu Laila dan Majnun. Adakah penceritaan dalam puisi ini juga sama? Saya tertanya-tanya. Daripada judulnya, ia jelas memberikan gambaran bahawa puisi ini disulami dengan bahasa Arab. Malah, ada juga tulisan Arab dalam satu baris puisi ini!


Puisi ini berlatarkan kawasan Timur Tengah dengan beberapa bukti seperti “Sungai Nil”, “baharullah Merah”, “Mesir” dan “Al-Bahr Al-Ahmar”. Penulis juga seakan-akan meninggalkan petunjuk bagi latar masa puisi ini. Ia dilihat pada baris kedua hingga keempat:


kasihku mengalir deras dibawa Wadi Tumilat

yang mencantumkan seantero lanar leluhurku

dengan baharullah Merah


Menurut nota kaki di halaman 103, “Wadi Tumilat” ialah lembah sungai yang kini sudah kering. Namun, pada zaman purbakala, lembah itu merupakan kejayaan besar kejuruteraan awam kuno (“ancient civil engineering”) menghubungkan Laut Merah ke Mediterranean melalui Sungai Nil! Ini bermakna puisi ini mengembalikan para pembaca ke zaman firaun.


Setelah membaca bait-bait berikutnya, saya rasa jangkaan awal saya benar. Puisi ini bertemakan percintaan – “cinta yang tidak pernah kesampaian” (hal. 102). Untuk menggambarkan kecintaannya, pelbagai personifikasi telah diterapkan. Nada yang digunakan penulis kedengaran seperti terdesak dan sedih. Watak dalam puisi ini, “Puteri Nusrat Ali”, juga membawa segenap harapan bersamanya walaupun dia sedar akan kemustahilan percintaannya. Ini kerana seperti Laila dan Majnun, dua watak dalam puisi ini bertaraf kedudukan yang amat berbeza. Puteri Nusrat Ali merupakan anakanda firaun dan Noul Nargis pula berketurunan orang sahaya. Perbezaan di antara mereka bagaikan langit dan bumi. Puteri Nusrat Ali dikaitkan dengan kemewahan seperti “ainulbanat” dan “sutera” manakala Noul Nargis diselaputi kedaifan, “tidak bersih daripada calar”, “darah”, “peluh” dan “najis”.


Menurut pengamatan saya, puisi ini tersirat dengan makna yang lebih mendalam daripada sebuah kisah percintaan yang sendu. Saya menafsirkan puisi ini sebagai sebuah alegori sebilangan masyarakat Melayu yang memandang kedudukan sebagai asas perkahwinan. Kadangkala hal ini boleh juga membabitkan tahap pendidikan juga. Apabila percintaan sebegitu tidak direstui, seorang ayah mengongkong anak gadisnya di rumah. Maka terucaplah: “Bawalah ana keluar dari ahram asfal ini” seolah-olah ahram itu satu metafora bagi sebuah kediaman dipenuhi harta-benda yang tersorok namun sunyi. Sepi. Mati. Umpama jiwa yang ketandusan cinta dan taqwa. Wah, penuh drama.


Bagaimana pula sekiranya saya melihat keterkaitan puisi ini di luar rangka antologi? Firaun diibaratkan sebahagian ketua-ketua negara yang menindas rakyat sezalim-zalimnya disebabkan kepercayaan berlainan dan sebagainya. Walaupun sudah berkurun-kurun lamanya, kegilaan seperti apa ini?


Oleh Safiyah Salmi