Nilai Budi

Budi merupakan satu nilai yang tinggi dalam kalangan orang-orang Melayu. Perkataan budi berasal daripada bahasa sanskrit buddhi, yang membawa maksud kepintaran atau kebijaksanaan dalam menyelesaikan sesuatu masalah (Asmah, 2007). Kamus Dewan Edisi Keempat pula memberi beberapa takrifan atas perkataan budi iaitu; akal, kebijaksanaan, pekerti perangai, sifat baik, dan daya upaya. Kemanifestasian budi meliputi setiap aspek kehidupan orang Melayu, dari segi hubungan sosio-budaya dan rohani yang merangkumi berbudi kepada Tuhan (Allah), berbudi kepada bangsa dan ibu pertiwi; berbudi kepada masyarakat dan budaya; berbudi kepada ahli keluarga dan berbudi kepada diri sendiri.


Menurut Hamka, kemampuan untuk berfikir, iaitu berbudi tinggi, membezakan antara manusia dan haiwan. Gerak-geri binatang hanya tunduk kepada naluri semata-mata, tanpa disertai pertimbangan (Hamka, 2017). Manusia mempunyai kekuatan akal yang mendorongnya untuk sentiasa berikhtiar untuk mencari jalan penyelesaian setiap masalah tanpa menjejaskan keharmonian atau menjatuh air muka seseorang.


Dalam erti kata yang lebih mendalam, budi merupakan manifestasi mental yang mempunyai kekuatan dan kebijaksanaan dalam membuat penimbangan antara yang benar dan yang keji. Dalam kata-kata Hamka, keutamaan budi ialah tujuan akhir, menyingkirkan kebinatangan, dan ia merupakan cita-cita yang mulia. Bak pantun Melayu yang berbunyi:


Nanas dijual di pasar niaga,

Ramai orang datang membeli;

Emas perak perhiasan dunia,

Budi bahasa perhiasan diri.

(Kurik Kundi Merah Saga, 2015)


Shafie Hussein




Rujukan

Asmah Haji Omar. (2007). Kesantunan bahasa dalam Pengurusan Pentadbiran dan media. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hamka. (2017). Lembaga budi. Selangor: PTS Publishing House Sendirian Berhad.