Menyingkap Sejarah: Dilema Minoriti (Melayu) Singapura

1959

Singapura mencapai pemerintahan sendiri dengan jangkaan

kemasukan Singapura ke Persekutuan Malaysia yang lebih luas

etnik Melayu berperanan besar dalam proses pembangunan negara

malah perlembagaan mengiktiraf status keaslian orang Melayu


namun pada 1964

ketegangan etnik menyusul

bersama-sama rusuhan kaum


1965

Singapura dan Malaysia berpisah

sedih marah gelisah orang Melayu tidak tentu arah

pemerintah Singapura menggubal dasar-dasar utama

yang bertujuan untuk memupuk kedamaian antara kaum,

sistem pendidikan bersepadu, dasar dwibahasa

juga penempatan semula penduduk di estet-estet HDB

maka berpecah-belah para penduduk kampung di merata-rata pulau


1979

orang Melayu melihat anjakan pemerintahan

yang pada awalnya neutral sudah mula berbaur kaum majoriti

orang Melayu membantah beberapa skim

yang merugikan anak-anak Melayu mereka sendiri

tetapi suara-suara mereka diabaikan

di tengah-tengah perkembangan radikal dalam dunia Islam


1982

pemerintah mengharamkan sebuah kumpulan

yang mengapi-apikan kebencian

di kalangan umat Islam/Melayu terhadap pemerintah

sepuluh orang kemudian dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri

mereka yang dituduh tidak dibenarkan "open trial" sama sekali


1986

peristiwa "Herzog" pula mempersoalkan kesetiaan orang Melayu

"Dalam keadaan tertentu, orang Melayu Singapura bertindak lebih sebagai Melayu/Muslim daripada sebagai warga Singapura"

orang Melayu maka diharamkan mengambil posisi strategik dalam Angkatan Udara Singapura

dengan alasan tidak mahu meletakkan mana-mana askar dalam kedudukan yang sukar di mana emosinya untuk negara mungkin akan bercanggah dengan emosi untuk agamanya


2002

pemerintah menolak permintaan pemakaian tudung

bagi anak-anak Melayu di bangku sekolah

beberapa pelajar Melayu dikenakan penggantungan sekolah

kerana memakai tudung di sekolah-sekolah menengah pemerintah

hujahnya: membahayakan identiti negara

bibit-bibit diskriminasi sosial mula muncul -

tudung

dianggap sebagai negatif dan berbahaya


mungkin jika menurut statistik,

orang Melayu ketinggalan dalam Ekonomi Baru -

pendidikan (prestasi peperiksaan)

dan ekonomi (tahap pekerjaan dan pendapatan)

orang Melayu nescaya "champion" penyakit sosial -

tahap kencing manis dan barah yang tinggi

kadar perceraian dan ketagihan dadah juga tinggi


apa-apa pun,

orang Melayu tidak hanya berdiri tercongok

berterusan dalam mengungkapkan dilema mereka secara terbuka

kesinambungan usaha orang Melayu berdekad lamanya sebenarnya

mengesahkan rintangan yang tiada akhirnya di mana-mana.


Safiyah Salmi

(berdasarkan kertas jurnal Hussin Mutalib, “The Singapore Minority Dilemma”)