Mencari Ubat

i

lewat iklan televisyen dan radio

kita disuguh dengan ubat

yang seperti gemala ajaib

merawat setiap penyakit

tanpa perlu dibaca nadi

oleh tabib yang mengerti.

kita mencari makjun

yang merangkumi semua

rempah dan herba sebagai

ubat yang merawat segala

tanpa perlu derita pantang

dan petua orang lama,

setiap pagi, ubat dimakan

sebelum menyambung

tabiat lama kerana sakit

hanya singgah

sebagai kelaziman hidup

bukan singgah

membawa pesanan langit.

ii

sebelum mencari ubat

kenal punca sakit

kerana pil penenang

tidak meleraikan kusut jiwa

dan pil penahan sakit

hanya mematikan rasa.

ubat tidak dibeli

seperti gula-gula

seorang anak.

iii

sakit pandan

tidak tahukan duri,

sakit badan

tidak tahukan diri.

pandan mencari

air dan mentari

manusia menemui

segala dalam diri.

Khairool Haque

Bakal Diterbitkan

dalam Kumpulan Puisi

Anak Waktu Belajar Diam

Unggun Creative, 2020