Membicarakan Sastera Melalui ‘Bicara’

Pada suatu malam yang tidak begitu hening, sekumpulan siswa menganjurkan suatu acara yang dinamakan ‘Bicara’. Bertempat di suatu bilik di Universiti Teknologi Nanyang, siswa daripada universiti ini menjemput para tetamu yang terdiri daripada siswa seuniversiti dan juga rakan yang sama-sama mempunyai kecenderungan terhadap bahasa dan budaya daripada universiti yang lain di kota Singa ini. Para tetamu dihadiahkan dengan sekeping penanda buku bercorak batik, senaskhah buku antologi karya terbitan mereka dan sampel produk jamu yang ditaja (walaupun janggal, ia masih mencerminkan sesuatu yang berkait dengan kebudayaan Melayu).


Acara dimulakan oleh ketua pihak penganjur iaitu ketua Kumpulan Karyawan Melayu NTU-NIE (KKMNN) yang merupakan sebahagian daripada Perbayu NTU-NIE. Kumpulan ini boleh dianggap masih hijau dengan ditubuhkan hanya pada tahun 2018. Namun, hijau juga membawa maksud kesegaran yang menjadi penyejuk mata. Siti Rezkiah, pelajar tahun 2 NIE-NTU dalam bidang Pendidikan (Bahasa Melayu) memperkenalkan tetamu kepada KKMNN. Seterusnya, presiden Perbayu NTU-NIE, Tuan Muhd Radhi dijemput untuk melancarkan laman web KKMNN yang diberi nama ‘Sanubari’. Andai tubuh manusia tiada fungsi tanpa hati, begitulah diharapkan ‘Sanubari’ menjadi daya hayat para siswa yang minat terhadap bidang penulisan Bahasa Melayu. Sebagai langkah awal, laman web tersebut memuatkan ulasan terhadap karya yang terkandung dalam antologi terbitan KKMNN. Selain laman web, kumpulan ini juga mula aktif dengan menyampaikan kandungan melalui aplikasi Instagram.


Majlis dilanjutkan dengan sesi berehat di mana tetamu dijamu dengan juadah ringan. Seterusnya, acara forum dimulakan. Sesi tersebut bertemakan ‘Sastera: Cerminan Masyarakat’. Panelis merangkumi tiga penulis yang telah menyumbang kepada antologi yang diterbitkan. Moderator memulakan forum dengan menukil kalam Syed Hussein Alatas yang menyatakan sastera itu bertujuan untuk membangkitkan suara senyap dalam kalangan masyarakat.


Namun, bicara seterusnya lebih tertumpu kepada penulis dan proses penulisan pengkaryaan. Safiyah Salmi, pelajar NIE-NTU tahun 4 dalam bidang Pendidikan (Bahasa Melayu) menyatakan bahawa beliau memang gemar menulis dan menggunakan penulisan sebagai jalan meluahkan apa yang terpendam dalam dirinya. Seterusnya, beliau menjelaskan tentang proses menulis cerpen yang cuba menampilkan nasib kaum kelas bawahan yang baginya kurang diberi perhatian. Beliau turut membicarakan tentang puisinya bertajuk ‘Rentung’ dan menyeru para pembaca agar membaca dengan lebih teliti untuk memahami mesej yang ingin disampaikannya melalui karya tersebut.


Khairil Bahri juga pelajar NIE-NTU tahun 4 dalam bidang Pendidikan (Bahasa Melayu). Beliau menjelaskan tentang sajaknya yang memuatkan pengamatannya terhadap sesuatu. Menurutnya, gaya penulisannya bersifat langsung demi memudahkan pembaca menghayati mesej yang ingin disampaikan. Selain itu, beliau juga cuba menulis karya yang bersifat eksperimental seperti Sutardji Calzoum Bachri iaitu puisi yang bersifat tipografi.


Afiqah Hassan pula pelajar tahun 2 Diploma Pendidikan (Bahasa Melayu) NIE. Beliau menyatakan pengalamannya dalam bidang penulisan Bahasa Melayu sebagai seorang guru pelatih Bahasa Melayu yang terpanggil untuk mencurahkan isi hatinya dalam bahasa yang dicintai. Bicaranya lebih bersifat peribadi tentang sebab tercetus karyanya. Beliau menganggap dirinya masih baharu dalam penulisan Bahasa Melayu dan hanya menulis tatkala ilham menjengah terutama setelah malam menakluk waktu. Baginya puisi kadangkala menjadi hubungan ketuhanan yang terluah setelah digerakkan oleh munajat pada hening malam.


Forum tersebut berselang-seli dengan bicara moderator yang meringkaskan dan kadangkala menyatakan pandangan beliau terhadap luahan penulis. Kadangkala, soalan yang sama ditanya oleh moderator dalam bentuk yang berbeza sehingga bicara hanya berputar pada diri penulis sendiri dan proses mereka menulis sedang sastera itu lebih besar daripada diri seorang penulis sendiri terutama tatkala ia dikaitkan dengan masyarakat. Namun, permulaan ini menampakkan usaha sekumpul siswa yang cuba membentuk suasana yang tidak canggung membicarakan tentang sastera kerana sastera itu bukan milik pelajar sastera - sastera itu milik sesiapa sahaja yang berusaha membaca dengan mata seorang penikmat karya.


Yang nyata, tiga orang penulis muda berlatar pengajian akademik di universiti telah berbicara tentang proses penulisan dan minat terhadap pengkaryaan. Menulis karya sastera pula ialah suatu usaha serius yang menuntut kecekalan para penulis. Dengan berlalunya masa, mereka yang pernah menulis kadangkala menggantung pena penulis terutama setelah tanggungjawab lain menghimpit gerak kehidupan. Maka, melalui para penulis ini, kita bakal melihat daya mereka dalam menceburi bidang yang semakin ketandusan penerus dan pelapis. Akhirnya yang menjadi tanda seorang penulis bukanlah bicaranya tetapi karyanya. Pada waktu yang sama, kita bakal melihat KKMNN sebagai kumpulan siswa yang menggerakkan aktiviti sastera supaya sastera kelak membicarakan persoalan yang terjerat dalam minda para siswa.


Khairool Haque