Membaca Jalan Pulang



Prof Wan Mohd Nor lebih dikenali sebagai seorang ahli akademik tetapi juga menulis puisi. Sebelum ini beliau telah menulis kumpulan puisi Mutiara Taman Adabi dan Dalam Terang.


Seperti penulisan akademik Prof Wan Mohd Nor yang mengajak masyarakat menilai kembali pengalaman agama mereka secara kritis dengan penekanan terhadap pandangan alam yang sahih, perkara yang sama menjadi tunggak kumpulan puisi ini. Dengan gaya bahasa yang berbicara secara langsung, penulis sebagai seorang guru yang mengajak pembaca kepada Jalan Pulang, iaitu jalan pulang kepada Tuhan, dengan menawarkan beberapa konsep yang berkaitan dengan ilmu, melalui puisinya.


Antara puisi yang saya suka ialah 'Tawaf Si Keldai'. Di sini saya kongsikan bait awalnya:


Berpuluh kali keldai mengelilingi Kaabah

Sangat bersungguh, patuh, tabah

Menurut garisan dan sudut pusingan

Tidak merubah darjat kejadian


Sebagai seorang guru, Prof Wan Mohd Nor mengingatkan pembaca supaya ibadahnya bukan ibadah sang keldai tetapi ibadah manusia yang diiringi dengan pemaknaan. Begitulah puisi-puisi dalam buku ini menghimpunkan kritikan penulis terhadap masyarakat. Penulis bukan sekadar mengajak pembaca menuju Jalan Pulang menerusi ibadah yang bersifat ritualistik tetapi dengan mengangkat kembali fungsi akal yang diletakkan pada tempatnya dalam pengamalan agama.


Khairool Haque