Melayu Melatah - Mencungkil 3 tanggapan tentang melatah

“Oh pocot! Mak kau terjatuh! Bom meletup!”


Bukan, ini bukan kata-kata kesat atau kata-kata cacian yang diujarkan untuk menghina seseorang. Namun, kata-kata sebegini sering dilafazkan secara tidak sengaja tatkala seseorang itu dikejutkan secara tiba-tiba dengan bunyi bising atau diprovokasi seperti dicucuk di pinggang. Malah lebih dahsyat lagi, ada yang sampai membuka langkah silat! Orang yang berada di sekelilingnya pasti akan ketawa sampai kering gusi melihat antiknya yang amat melucukan. Antik sebegini telah kita ketahui sebagai melatah.


Kita sudah terbiasa melihat gelagat melatah sama ada melalui teman-teman kita atau di kalangan anggota keluarga kita sendiri. Tiap kali mereka melatah, pasti kita akan terhibur melihat gelagat lucu mereka. Gelagat melatah sering tidak dipandang serius kerana kita menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak memudaratkan seseorang. Walaupun perbuatan melatah ini telah banyak dikaji oleh pelbagai sarjana, kita sering mengambil sikap endah tak endah terhadap melatah.


Masyarakat Melayu mempunyai banyak tanggapan tentang latah tetapi tidak mengambil serius tentangnya. Di sini saya ingin mencungkil 3 tanggapan latah, sama ada ia benar atau tidak. 3 tanggapan ini ialah:

1) Latah hanya spesifik kepada orang-orang Melayu,

2) Golongan wanita dan orang tua kuat melatah, dan

3) Latah tidak mendatangkan bahaya kepada seseorang.


Tanggapan Pertama: Latah hanya spesifik kepada orang-orang Melayu

Menurut sarjana dari Amerika, Robert Winzeler, latah merupakan sindrom yang terikat dengan budaya sesuatu kaum (culture-bound syndrome). Kajiannya mendapati bahawa kaum yang banyak mengamalkan latah merupakan kaum Melayu di Asia Tenggara. Menurut kajian yang saya jalankan melalui Instagram, majoriti (88%) mengaitkan latah dengan Melayu. 70% juga menyatakan bahawa mereka tidak tahu bangsa-bangsa lain yang melatah selain bangsa Melayu.


Sebenarnya, terdapat juga bangsa lain yang melatah seperti bangsa Burma dan Thai. Namun, bilangan mereka yang melatah hanya sedikit dan tidak menyerlah, tidak sama seperti halnya orang-orang Melayu. Daripada dapatan ini, kita dapat menyimpulkan bahawa latah merupakan sesuatu fenomena yang unik bagi orang-orang Melayu. Malah, latah boleh disifatkan sebagai cerminan masyarakat Melayu, sama juga seperti halnya pantang-larang orang Melayu.


Tanggapan Kedua: Golongan wanita dan orang tua kuat melatah

Kita sering mendengar penyataan bahawa orang Melayu kuat melatah. Namun perlu kita ketahui, bahawasanya tidak semua orang Melayu yang melatah. Menurut kajian yang saya jalankan, 72% menyatakan yang mereka tidak melatah. Ramai yang di antara mereka merupakan golongan muda. Menurut seorang sarjana bernama H. A. Obrien, golongan tua lebih kuat melatah berbanding golongan muda. Menurut beliau juga, golongan wanita kerap melatah dibandingkan lelaki. Ini turut disokong oleh kajian saya yang menunjukkan bahawa 84% setuju yang wanita melatah lebih daripada lelaki.


Terdapat banyak faktor yang dapat menyokong penyataan ini. Ramai yang memberikan alasan bahawa wanita lebih beremosi. Maka, wanita memberi reaksi yang lebih pantas berbanding lelaki. Oleh itu, kalau mereka dikejutkan secara tiba-tiba, mereka akan terus melatah tanpa memikirkan keadaan sekeliling. Wanita juga mudah berasa takut dan senang terperanjat. Sifat lelaki yang tenang dan tidak terikut kepada emosi menyebabkan mereka tidak mudah melatah.


Sebagai suatu eksperimen, kita boleh meletakkan seorang ‘makcik’ bersama suaminya di suatu bilik dan mendedahkan mereka kepada bunyi yang bising. Pasti si isteri akan mula melatah sejurus terdengar bunyi bising itu. Jangan terkejut jika si isteri mula membuka langkah silat, mengajak suaminya bersilat dengannya!


Tanggapan Ketiga: Latah tidak mendatangkan bahaya kepada seseorang

Secara umumnya, melatah tidak mendatangkan bahaya. Ini kerana kebanyakan daripada mereka melatah dengan sepintas lalu. Namun, ia boleh mendatangkan bahaya apabila seseorang itu melatah secara berpanjangan sehingga menyebabkannya rasa termengah-mengah. Kalau tidak dikawal, ia boleh menyebabkan seseorang itu hilang kesedaran.


Tidak hanya itu, jika seseorang itu sedang memegang alat yang tajam dan merbahaya seperti pisau, ia boleh mendatangkan kecelakaan kepada orang sekeliling. Ini memandangkan seseorang itu tidak dapat mengawal dirinya semasa melatah. Oleh itu, kalau kita mengenali seseorang yang kuat melatah dan tidak boleh mengawal dirinya, janganlah sesekali kita mengusiknya, takut kita pula yang menerima padahnya.


Penutup

Dengan mengetahui lebih lanjut tanggapan umum tentang melatah, diharapkan supaya masyarakat Melayu kita lebih mengambil sikap peka tentang melatah. Walaupun melatah merupakan sesuatu yang menghiburkan, dengan kita mengambil serius tentang melatah, kita dapat mengelakkan sesuatu yang buruk daripada terjadi.


Kesimpulannya, apabila kita terdengar seseorang itu memekik ‘eh mak kau terjatuh’ secara tiba-tiba, janganlah kita terus ketawa sahaja. Perhatikan sekiranya dia tidak mengalami sebarang masalah. Kalau tidak berwaspada, nescaya malang akan menimpa.


Zulhilmi