Mahasiswa dan Puisi: Langkah Selanjutnya

Di malam dingin

dia terlupa dan asyik mengira

gaji dan ganjaran bakal diterima

dengan isteri cantik jelita

dia lupa Subuh tidak lagi menjelma

dan malam segelita-gelitanya

buat anak bangsa.

[Siswazah, Mohamed Latiff Mohamed]


Perbayu NTU melalui Kumpulan Karyawan Melayu NTU/NIE telah menerbitkan suatu antologi karya yang merangkumi sajak dan cerpen. Antologi ini merangkumi 16 karya iaitu 3 cerpen dan 13 puisi. Selain daripada karya dalam bahasa asal iaitu Bahasa Melayu, antologi ini turut memuatkan terjemahan bagi karya tersebut. Menurut Prof Madya Dr Hadijah Rahmat dalam kata aluan bagi antologi ini, kumpulan mahasiswa yang sebelum ini bergiat menerbitkan karya kreatif merupakan kumpulan yang diketuai beliau sendiri dan Rasiah Halil pada tahun 70-an. Mereka menghasilkan jurnal sastera, Jejak Kembara di bawah naungan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura.


Kumpulan Karyawan Melayu menyambung usaha ini setelah berpuluh tahun kumpulan mahasiswa menyepi daripada menghasilkan penerbitan karya kreatif secara kolektif. Sebagai seorang penulis yang telah menerbitkan buku, saya telah melihat sendiri betapa payahnya mengusahakan suatu penerbitan daripada lakaran ke produk akhir iaitu buku yang berada di tangan. Maka, usaha yang dilakukan oleh kumpulan mahasiswa ini, dengan bantuan wartawan mapan, Abdul Rahman Basrun, merupakan sesuatu yang wajar dipuji kerana penyuntingan, terjemahan dan segala yang berkaitan dengan hal pembukuan dilakukan oleh mahasiswa sendiri.


Namun, dalam menilai suatu buku, ia bukan sekadar terletak pada berakhirnya proses penerbitan tetapi yang lebih utama ialah isi karya yang terkandung. Antara persoalan yang berlegar pada fikiran saya tatkala memandang sampul buku ini ialah apakah sebenarnya tajuk buku ini. Menurut data penerbitan, buku ini bertajuk ‘Antologi Cerpen dan Sajak: MM Mm mm’. Safiyah Salmi, editor bagi antologi ini dalam Mukadimah antologi menyatakan:


Kandungan antologi ini telah disusun bersama-sama dengan anggota KKMNN yang lain bersertakan bayangan Punnett Square. Itu apa ya, anda mungkin bertanya. Punnett Square ialah gambar rajah persegi yang digunakan oleh ahli biologi untuk menentukan kebarangkalian genotip keturunan. Dengan idea yang serupa, Punnett Square telah dikonseptualisasikan dalam antologi ini untuk melambangkan keperibadian seorang individu. Nah, tafsirannya terpulang kepada anda. [hlm. xxiii]


Ini menjadikan konsep antologi ini kelihatan seperti sesuatu yang kabur dan abstrak walaupun sekiranya dibaca karya-karya yang terkandung di dalamnya, ia berpijak pada penulisan yang bersifat realisme dan gaya penulisan yang konvensional. Maka, kekaburan ini tidak bantu dalam memberi pencerahan terhadap antologi ini melainkan memaksa pembaca mengagak tentang makna MM yang berkemungkinan merujuk kepada Melayu Muslim atau bunyi ‘mm’ yang dihasilkan tatkala menikmati makanan yang sedap atau dalam keadaan ini, karya yang sedap. Pada waktu yang sama, MM juga boleh merujuk pada ‘Masalah Melayu’ yang telah menjadi tema yang menaungi karya para sasterawan Singapura.


Membaca karya yang terkandung di dalamnya menampakkan keinginan para mahasiswa memperkatakan tentang perihal bangsa dan agama iaitu perihal Melayu Muslim. Saya hanya akan menyentuh puisi dalam antologi ini. Antologi diawali dengan sajak ‘Pulau Ujong ke Tanah Melaka’ oleh Muhammad Danial Bin Rosli yang berbicara tentang sejarah negara dan perkaitannya dengan Melayu zaman kini. Nur Afiqah Binte Hassan pula menulis ‘Ramadan yang Mulia’ yang menceritakan tentang Ramadan tanpa memberikan intepretasi tetapi lebih bersifat diskriptif. Beliau turut menyumbang puisi yang bertajuk ‘Wahai Anak Muda’ yang seperti seorang guru menyeru anak muda supaya menjaga tingkah-laku.


Seterusnya, Siti Rosniah Binte Md Isa menulis puisi bertajuk ‘Puisi Ibumu’ yang merupakan suatu puisi klise berkenaan ibu yang sering dibaca pada hari ibu. Kharil Bahri bin Kamal menulis puisi ‘Gunung Harapan’ yang kelihatan menarik kerana merupakan puisi yang bersifat tipografi iaitu susunan katanya membentuk suatu gunung. Puisinya juga berbicara tentang masalah Melayu dengan kata-kata yang tidak berlapik dan seolah-olah suatu dialog langsung. Siti Rosniah Binte Isnin menyumbang suatu lagi puisi bertajuk ‘Antara Tujuh’ yang menyatakan tentang konflik dalam dan luaran yang dialami penulis. Namun, seperti beberapa puisi sebelum ini, penggunaan elipsis dalam setiap bait mengganggu bacaan. Penggunaan elipsis seharusnya ditiadakan dalam puisi kecuali untuk memberi kesan tertentu.


Safiyah Salmi menulis puisi ‘Rentung’ yang berbicara tentang moral dan agama. Buat pertama kali dalam antologi ini, terdapat percubaan untuk menggunakan perlambangan dalam puisi walaupun penulisan puisi masih bersifat langsung. Khairil Bahri menulis puisi ‘Hari Jumaat’ yang berbicara tentang masjid sebagai tempat yang kadangkala menghukumi mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan agama. Seperti puisinya sebelum ini, gayanya penulisannya seperti percakapan dan tidak bersifat puitis atau berlapik. Saiful Zahri menulis puisi ‘Noul Majnun’. Puisi ini mempunyai tajuk yang menjanjikan kesegaran. Namun, penulis seolah-olah hanya berbicara tentang konflik diri sendiri. Penggunaan kata-kata bombastik dan bahasa Arab tidak membantu dalam menyampaikan makna puisi ini. Akhirnya, ia menjadi puisi yang janggal dan tidak mengalir dengan deras walaupun ia berbicara tentang sungai Nil.


Dalam sajak ‘Apa Salahnya’, Khairil Bahri menggunakan gaya yang sama seperti sebelum ini untuk menyampaikan buah fikirannya tentang segolongan masyarakat yang menggunakan alasan niat yang baik untuk menghalalkan perbuatan yang salah. Penulis bersifat sarkastik dalam puisi ini. Namun, penulis sendiri tidak memberikan huraian terhadap masalah yang berlaku kecuali hanya mempamerkan perkara tersebut dalam puisinya. ‘Sayang Seribu Sayang’ oleh Zulhaqem bin Zulkifli menggunakan gaya yang sama seperti Khairil Bahri dalam menyampaikan tentang masalah Melayu. Keistimewaan puisi ini terletak pada penutupnya, ‘sayang seribu sayang / wayang digerakkan oleh si dalang / pabila berhentinya irama kata yang didondang / apa nak dikata pabila sayang hanyalah bayang’. Walaupun bahagian sebelum agak longgar dan kata-katanya tidak puitis dan lebih bersifat bicara langsung, penulis menutup puisinya dengan baik dan menyelitkan makna yang boleh direnung pembaca.


Nur Amirah Binte Zainuddin menulis sajak ‘Aku’. Seperti tajuk sajaknya, ia berbicara tentang dirinya. Puisi ini seperti suatu biografi kecil yang merakam konflik identiti seorang anak kota. Seperti puisi lain dalam antologi ini, penulis seperti berbicara dengan seorang rakan dalam suatu dialog. Akhirnya, antologi ini ditutup dengan puisi ‘Singa Melayu’ oleh Khairil Bahri. Puisi ini bersifat satu seruan yang juga bersifat langsung.


Membaca puisi yang terkandung dalam antologi ini menunjukkan bahawa masih terdapat segolongan mahasiswa yang prihatin terhadap hal-elwal bangsa dan masyarakat dan mempunyai minat untuk menyuarakannya melalui penulisan. Namun, pada waktu yang sama, sastera itu bukan sekadar pemikiran tetapi juga keindahan. Mesej yang disampaikan kebanyakannya lebih bersifat seperti perbualan dengan seorang rakan dan bukan puisi yang menyembunyikan lapisan makna. Tidak banyak penggunaan simbol dan metafora dalam penulisan puisi dalam antologi ni. Dalam hal ini para penulis harus lebih mendalami genre puisi dan belajar tentang selok-belok puisi dengan mendalam.


Antara caranya ialah dengan membaca lebih banyak puisi dan mendalami hal tentang metafora, simbol, personifikasi, simile dan alat-alat susastera (literary devices) yang lain. Ini supaya penulis dapat menghasilkan karya yang bukan sahaja sarat dengan buah fikiran dan renungan yang dalam terhadap masyarakat tetapi suatu karya yang indah sebagai puisi, bukan esei atau bentuk penulisan yang lain. Kebanyakan puisi dalam antologi ini juga bersifat lewah dan tidak ekonomis. Antara sebabnya ialah ketidakupayaan penulis dalam memanfaatkan alat susastera dalam penulisan puisi. Penulis juga harus menjauhi daripada menghasilkan karya yang klise sama ada dari sudut ketukangan dan juga sudut isi. Tidak menjadi suatu kesalahan untuk menulis tentang ibu tetapi penulis harus cuba menulisnya dengan pendekatan yang segar.


Dari sudut pemikiran pula, sastera bukan sekadar satu medan mempamerkan masalah masyarakat tetapi juga medan mengusulkan penghuraian bagi permasalahan tersebut. Para penulis juga harus berfikir tentang penulisan bersifat sedemikian yang telah dilakukan oleh sasterawan terdahulu kerana tugas seorang penulis bukan sekadar mengulangi apa yang telah diperkatakan oleh orang terdahulu dalam bentuk yang berbeza. Mahasiswa yang hidup pada zaman kini juga tidak seharusnya terperangkap dalam ideologi penulisan mereka yang terdahulu yang menghadapi cabaran dan idealisme penulisan yang berbeza.


Kesimpulannya, percubaan Kelab Karyawan Melayu NTU/NIE harus mendapat sokongan para penggiat sastera. Penulis yang telah menghasilkan karya pula menunjukkan adanya pelapis dalam kesusasteraan Melayu Singapura walaupun penulisan mereka masih perlu digilap. Para penulis ini seharusnya merapatkan diri dengan para sasterawan mapan dan belajar daripada mereka. Mungkin, pihak Kelab Karyawan Melayu NTU/NIE dapat menjadi platform yang lebih sistematik dalam menggilap bakat penulisan para penulis ini dan juga penulis yang bakatnya masih tersembunyi pada masa akan datang.


Oleh Khairool Haque