Keterancaman Bahasa

Bahasa yang terancam merujuk kepada bahasa yang lemah dan hampir pupus. Bahasa yang terancam ini, jika ia tidak dipelihara, boleh menjadi pupus pada masa hadapan apabila penutur akhir bahasa tersebut meninggal dunia. Terdapat pelbagai kriteria untuk menentukan sama ada bahasa itu terancam ataupun tidak. Ini termasuk melihat kepada jumlah dan umur penutur bahasa itu sekarang dan juga sama ada generasi muda dapat menguasai bahasa itu dengan baik.


Terdapat empat sebab utama yang boleh mengakibatkan suatu bahasa itu menjadi terancam. Pertama, bencana semula jadi seperti gempa bumi dan tsunami dapat melenyapkan sesuatu komuniti lantas mengancam bahasa komuniti tersebut. Seperti contoh, komuniti di Andaman Islands yang terjejas teruk oleh tsunami pada tahun 2004, lantas mengancam bahasa mereka. Seterusnya, peperangan dan pembunuhan beramai-ramai terhadap sesuatu komuniti turut akan menyumbang kepada keterancaman bahasa. Ini dapat kita lihat dalam contoh penduduk asli di Tasmania yang lenyap dibunuh oleh penjajah lalu membawa kepada keterancaman bahasa mereka. Selanjutnya, faktor politik juga dapat mengakibat sesuatu bahasa itu menjadi terancam. Atas dasar politik, sesuatu bahasa itu terutama bahasa minoriti dihadkan penggunaannya di sekolah, media massa dan tempat kerja. Ada kalanya bahasa itu tidak boleh digunakan sama sekali. Dengan kurangnya penggunaan bahasa tersebut, lama-kelamaan bahasa itu menjadi terancam. Seperti contoh, bahasa Kurdish di negara Turki. Terakhir sekali, peminggiran atas dasar budaya dan ekonomi. Ini merujuk kepada sesuatu komuniti yang sanggup meninggalkan bahasa dan budaya mereka demi mencapai taraf kehidupan yang tinggi. Seperti contoh komuniti Welsh di Great Britian meminggirkan bahasa mereka dan sebaliknya, mengguna pakai Bahasa Inggeris, bahasa yang dianggap lebih tinggi tarafnya.


Terdapat lebih kurang 5000 bahasa yang ditutur dalam dunia ini. Dalam seabad yang akan datang, anggaran dalam 80% bahasa ini akan menjadi pupus. Malah, bahasa yang ditutur boleh berkurang menjadi ratusan kerana kian ramai penduduk bumi menggunakan bahasa utama dunia seperti bahasa Inggeris, Mandarin, Arab, Sepanyol dan sebagainya. Sebagai contoh, terdapat 900 bahasa yang ditutur oleh suku kaum Papua New Guinea dan dianggarkan bahawa 80% bahasa ini akan menjadi pupus dalam generasi kini.


Bahasa yang pupus akan membawa kepada kehilangan identiti budaya dalam sesuatu komuniti. Bahasa yang pupus merupakan sesuatu kehilangan kepada identiti sosial dan boleh dianggap sebagai simbol kekalahan. Seluruh aspek kehidupan seseorang itu sama ada dari segi budaya, kerohanian dan daya intelek dibentuk oleh bahasa. Maka apabila bahasa itu hilang, hilanglah identiti sosial dalam sesebuah komuniti itu. Kehilangan bahasa juga dapat menjejas para pengkaji bahasa dalam kajian mereka terhadap minda manusia. Mengkaji pelbagai bahasa dapat memberi jawapan kepada bagaimana minda kita berfungsi. Oleh itu, semakin sedikit bahasa yang boleh dikaji, semakin sedikit maklumat yang kita boleh perolehi mengenai minda manusia.


Oleh yang demikian, terdapat langkah-langkah yang diambil untuk memulihara bahasa yang terancam. Seperti contoh, bahasa Maori yang dianggap sebagai terancam diajar di sekolah seawal tadika. Bahasa ini turut dipelajari di peringkat sekolah rendah, malah juga menengah. Selain itu, terdapat juga persidangan dan bengkel yang menawarkan sokongan untuk sekolah dan komuniti, bersama-sama bertujuan untuk memulihara bahasa yang terancam. Diharapkan agar dengan langkah-langkah sebegini, bahasa terancam ini dapat dipulihara dan tidak pupus pada masa yang datang.


Muhammad Zulhilmi