Kepelbagaian Isu (Tema) dan Jalur Pengembaraan Watak Utama Dalam Cermin

Dalam kesibukan hidup moden yang semakin digugah oleh teknologi IT dan media sosial, penulisan cerpen yang boleh dibaca sekali duduk itu kembali menjadi genre penulisan yang popular. Ia tetap berperanan menghiburkan di samping mampu membuat pembaca terpaku dan mahu segera menghabiskan pembacaannya. Di sinilah letaknya kearifan dan ketukangan penulis dalam melakar plot cerita yang digerakkan oleh beberapa watak utama. Watak-watak tersebut dianggap sebagai cermin kehidupan manusia dan masyarakatnya. Tapi apa yang penting dalam sesebuah cerpen, watak utama itu harus menggerakkan plot cerita supaya dia dapat mengembara dan berdepan dengan berbagai halangan dan konflik. Apakah cerpen-cerpen dalam ‘Antologi Cerpen: Cermin’ ini dapat menjawab soalan asas tersebut?

‘Antologi Cerpen: Cermin’ berjaya daripada aspek mempelbagaikan isu dan tema penceritaan. Terdapat lima buah cerpen yang patut dipuji kerana sikap inovatif penulis yang cuba memberi perspektif yang lebih kreatif. Cerpen ‘Cahaya Atau Bayangan’ oleh Avery Dahril Sateria mempersoalkan isu keberadaan diri yang asas. Apabila kita mula bertanya kenapa kita berada di dunia ini, itulah permulaan ilmu falsasafah. Jelas sekali, penulis menjadikan diktum Rene Descartes, “cognito ergo sum” sebagai bahan perbincangan dalam cerpen tersebut sehinggakan beliau lupa tentang aspek penceritaan dan pentingnya ada semacam pengembaraan watak utama dalam ceritanya.


Cerpen yang berjudul ‘Penat’ karya Farah Adibah mengangkat isu psikologi yang sering melanda manusia moden hari ini: tekanan jiwa dan kemurungan. Kalau dibiarkan tanpa rawatan boleh membawa pada bunuh diri. Penceritaan dari sudut pandangan orang kedua amat baik tapi tidak dapat berterusan kerana penulis mengubahnya menjadi sudut pandangan orang pertama. Ini menjadikan cerita ini semacam intropeksi diri dan lebih banyak memberitahu daripada memaparkan kejadian (peristiwa) yang mengganggu watak utamanya.


Cerpen ‘Warna Kita’ karya Siti Rezkiah Radzelee menghidangkan pembaca dengan sebuah cerita futuristik dalam genre dystopia. Walaupun novel 1984 oleh George Orwell dan The Handmaid’s Tale oleh Margaret Atwood begitu popular sehingga diadaptasi menjadi filem, di Singapura, penulisan yang bercorak demikian amat berkurangan. Usaha Siti patut dipuji.


Cerpen ‘Baju Melayu Putih’ oleh Khairil Bahri boleh dikategorikan sebagai cerpen ‘noir’. Ia menulis secara deskriptif tentang tata cara memandikan mayat dan pengebumian di tanah perkuburan. Khairil juga terperangkap dalam penulisan rencana hingga melupakan ‘lubang plot’ yang tidak tertimbus hingga akhir cerita: Kenapa tidak ramai yang ikut menghantar mayat arwah ke kubur? Mungkin, Khairil lebih cenderung berdakwah mengingatkan kita supaya bersedia untuk pulang disambut Yang Maha Esa.

Cerpen ‘Onomatopia’ oleh Muhammad Khairool Haque merupakan cerpen yang cukup fokus dan terkawal. Cerpen sindiran ini menghidupkan plot cerita berdasarkan ajaran agama yang sering kita dengar daripada mulut para ulama iaitu manusia kebanyakan lebih bersikap haiwan.


Selanjutnya, enam buah cerpen yang lain masih berkisar dalam perangkap minda tentang isu masyarakat Melayu Singapura iaitu minum arak, perkosaan, pukul bantai isteri, dadah dan isteri yang mengidam. Kita memang maklum bahawa tema cerita memang selalu dikisar semula dalam penulisan. Namun untuk menjadikan sebuah cerpen yang menarik, penulis harus memberi perspektif baru dan segar. Dalam cerpen ‘Sahabat’ karya Shafie Bin Hussein, ia menggambarkan rasa bersalah watak utama kerana mabuk hingga membawa kemalangan jalan raya. Rakan baiknya lumpuh seumur hidup.


Cerpen ‘Lagi Satu Kesalahan’ karya Nurul Fazilah Binte Salim menceritakan watak utama Ina yang kembali mengambil dadah dan lari daripada perburuan polis. Akhirnya dia mengambil keputusan menyerah diri kerana “aku perlu maafkan diriku sendiri terdahulu sebelum meminta orang lain untuk memaafkanku”.


Cerpen ‘Syurga Sara’ oleh Nurain Binte Abdul Raheem memaparkan sikap watak Sara yang cukup sabar hidup dengan suami yang kaki pukul kerana Sara percaya bahwa perjuangan ke syurga ialah perjuangan seumur hidup.


Cerpen ‘Sekadar Harapan’ oleh Nur Shafizah Johan menceritakan sikap ayah yang chauvinistik dan mendesak anak perempuannya bernama Hilwa supaya cepat kahwin sedangkan Hilwa masih kuliah. Tapi Hilwa tetap bertahan.


‘Aku Wanita’ oleh Muhammad Zulhilmi menggambarkan emansipasi seorang wanita bernama Nur Musfira yang pernah diperkosa oleh ayah tiri dan apabila bersuami, dia menerima nasib malang kerana sikap panas baran suaminya yang suka pukul bantai.


Akhir sekali, cerpen ‘Pulut Inti Bak Chang’ karya Safiyah Salmi menceritakan watak isteri bernama Sarah yang merasa bimbang dan ragu-ragu apabila mendapati dirinya mengandung. Penulis pandai menyimpan identiti Sarah yang mengidam hendak makan bak chang. Dalam penulisan dialog kata-kata asing (Inggeris) boleh diterima. Namun dalam penulisan naratif sudut pandangan orang pertama harus dikekalkan dalam penulisan bahasa pengantar cerpen itu sendiri.


Kesimpulan yang agak membanggakan ialah penulis-penulis muda yang masih berkuliah ini telah menunjukkan bakat yang boleh berkembang jauh dengan memperbanyakkan membaca cerpen-cerpen internasional dan rajin menulis, menulis dan menulis.


Hamed Ismail




Biodata Hamed bin Ismail



Hamed Ismail telah menghasilkan skrip drama radio, drama pentas, dan ratusan skrip drama TV. Beliau juga menulis puisi, cerpen dan esei.

Kumpulan puisi beliau yang berjudul Suara Dalam (2013) terpilih dalam senarai pendek untuk Hadiah Sastera Singapura. Novel beliau berjudul Bunga Tanjong telah memenangi Hadiah Merit, Singapore Literature Prize. Antologi Puisi Tafsiran Tiga Alam bersama Samsudin Said dan Hartinah Ahmad telah memenangi Hadiah Persuratan dan Singapore Literature Prize. Beliau juga telah memenangi Hadiah Pena Emas (puisi dan cerpen) dan Hadiah Persuratan (untuk skrip teater, skrip drama televisyen dan cerpen).

Pernah bentang kertas kerja untuk SAKAT (Mastera) di Brunei, Pesta Puisi ASEAN di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dan juga beberapa ceramah di Singapura.