Jiwa Jawi

Tulisan Jawi bagi pemuda generasi abad ke-21 mungkin telah menjadi kisah sejarah semata. Jika disuruh untuk membaca tulisan Jawi, mungkin akan teringat kembali adegan P Ramlee, Ajis dan Sudin dalam cerita Pendekar Bujang Lapok. Lain yang ditulis, lain yang dibaca. Jangkaan bahawa tulisan Rumi dapat memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia ternyata belum tercapai. Pada tahun 2012, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuat pengakuan bahawa bahasa Melayu seolah-olah hilang upaya untuk bersaing dengan bahasa utama dunia yang menyebabkan bahasa Melayu banyak membuat penyerapan bahasa asing.


Namun bagi diri penulis, perkembangan Jawi tidak mungkin akan kuncup selama-lamanya. Keunggulan tulisan Jawi terbukti dengan fakta sejarah yang menempatkannya sebagai tulisan yang diguna pakai oleh masyarakat daripada setiap lapisan masyarakat dan bangsa. Tidak dapat tidak, orang Melayu harus berusaha untuk memartabatkan kembali tulisan Jawi. Khazanah Melayu yang kebanyakannya ditulis dalam tulisan Jawi akan lenyap dari genggaman Melayu andai minat dan kemahuan untuk mempelajari tulisan Jawi kuncup dalam diri pemuda generasi akan datang.


Shafie Hussein

(Gambar dipetik dari https://ms.wikipedia.org/wiki/Anak-ku_Sazali#/media/Fail:PosterAnakKuSazali.jpg)