Jaguh: Pemahaman Menerusi Pengalaman Berbeza

Sejujurnya, saya tidak pernah membaca cerpen ini dengan teliti hingga akhir tahun ini iaitu pada tanggal 11hb Disember 2019 sewaktu saya sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dalam bas yang perjalanannya memakan masa hampir lima jam. Dalam kesejukan hawa dingin, di atas kerusi yang begitu selesa bertemankan pemandangan yang penuh kehijauan di samping jalan raya, saya akhirnya membaca setiap perkataan dalam cerpen ini dengan penuh penghayatan. Pengalaman saya dengan cerpen ini pelbagai. Saya bukan sahaja seorang pembaca; saya diberi peluang melakonkan watak dalam cerita serta berbicara mengenai intipati cerpen dengan penulis cerpen ini. Jelas sekali bahawa cerpen ini dengan tidak langsungnya menyediakan pelbagai landasan bagi saya untuk memahami cerpen ini dan meninggalkan kesan yang berbeza-beza.

Pemahaman selaku penonton video

Persahabatan saya dengan penulisnya meningkatkan pemahaman saya mengenai konteks cerita ini. Jalan Kukoh menjadi latar tempat kepada cerpen ini. Saya difahamkan bahawa penulisan cerpen ini berinspirasikan kisah-kisah benar seperti yang dipaparkan dalam sebuah siri dokumentari oleh Rice Media. Siri dokumentari tersebut berkisahkan pengalaman manusia yang hidup dalam estet perumahan sewa di Jalan Kukoh. Video memberi saya gambaran visual yang boleh dikaitkan dengan kehidupan Nadine. Video pertama dalam siri tersebut memaparkan Belle selaku intern di RiceMedia yang merupakan salah seorang pendudok Jalan Kukoh. Belle meluahkan rasa bencinya terhadap tempat itu dengan memberi penonton gambaran tentang apa yang terkandung dalam masyarakat di sekelilingnya. Hal ini menjelaskan mengapa Nadine sendiri merasakan bahawa tempat penginapannya tidak sesuai untuk Maaya. Pemahaman daripada video ini sangat mencerminkan keadaan kehidupan Nadine dalam cerpen Jaguh. Ia memudahkan pemahaman saya akan perasaan Nadine dan kepentingan setiap watak dalam cerpen ini.

Pemahaman selaku Kak Su

Kemudian, saya diberi peluang pula untuk melibatkan diri dalam Malam Sastera Perbayu (MSP) Oktober yang lalu sebagai salah satu pelakon dalam pendramatisan adaptasi cerpen Jaguh. Sepanjang waktu saya melibatkan diri dalam persiapan pendramatisan tersebut, saya belum membaca cerpen tersebut. Saya menerima watak Kak Su tanpa mengenali dengan sebenar-benarnya siapa Kak Su dalam jalan cerita tersebut. Saya membaca cerpen ini sekilas lalu dan lebih tertumpu menghafal skripnya sahaja. Hal ini bukan disengajakan dan saya tidak bangga menyatakan hal ini; namun saya dibelenggu dengan pelbagai hal peribadi sehingga sering melupakan tentang pembacaan cerpen tersebut. Oleh itu, sewaktu MSP, pemahaman cerita ini hanyalah berdasarkan pembacaan skrip serta perbualan dengan penulis cerita ini seperti yang dinyatakan di atas.


Berdasarkan pengalaman saya sebagai Kak Su, saya difahamkan bahawa saya adalah penjaga anak Nadine yang bersifat hipokrit. Secara jujurnya, saya tidak tahu apa perhubungan sebenar Kak Su dengan Nadine. Sebagai watak yang berkaitan dengan Nadine, saya diasah untuk membawa watak yang sangat membenci Nadine. Tidak cukup dengan memarahi seperti seorang kanak-kanak yang membuat kesalahan, saya harus memarahi dan memperlakukan Nadine dengan penuh kebengisan. Berulang kali pengarah pendramatisan ini, Aizat, memberitahu saya untuk menjiwai watak tersebut sebagai seorang ibu tiri yang terpaksa menjaga anak tersebut: ibu tiri yang difahamkan orang ramai sebagai seorang yang garang dan tidak ikhlas menjaga anak tirinya, malang sungguh persepsi ini terhadap ibu-ibu tiri, namun begitulah gambaran seorang ibu tiri yang dikenali ramai.


Pembawakan watak antagonis ini membawa saya untuk melihat daripada lensa orang luar terhadap segelintir masyarakat yang dianggap kurang. Dalam cerpen ini, watak Nadine dianggap kurang kerana kedudukannya sebagai seorang ibu yang harus bekerja keras, tinggal di rumah sewa dan ketandusan kasih sayang daripada seorang “suami”. Keangkuhan Kak Su tidak dapat diterangkan dengan jelas menerusi pendramatisan ini: Siapa Kak Su?Kenapa Kak Su marah-marahkan si Nadine tu? Kenapa Nadine masih mahu Kak Su menjaga anaknya? Mungkin dek mempunyai suami yang masih boleh menjadi sokongan kehidupannya, Kak Su begitu sombong melihat orang seperti Nadine yang serba kekurangan. Nadine seakan seseorang yang sangat menyusahkan hidup Kak Su; mungkin Kak Su terpaksa menjaga anaknya. Mengapa terpaksa? Nah, soalan ini memerlukan penonton membaca cerpen tersebut untuk mendapatkan pemahaman yang lebih menyeluruh. Hal ini menampilkan keadaan masyarakat yang tidak ikhlas membantu dan memandang serong terhadap mereka yang dianggap ‘kurang’. Hal ini menyedihkan kerana perihal ini berlaku di luar sana dan masyarakat serba kekurangan harus hidup dengan penuh kesabaran dan ketabahan, walaupun diri terasa hina.


Pemaparan Kak Su sebagai seseorang yang manja terhadap suami merupakan cabaran bagi saya. Hal ini bukan sahaja tertakluk kepada kejanggalan saya dalam pembawakan perwatakan sebegitu, perwatakan itu merupakan perubahan pada watak yang sangat mendadak. Daripada seorang yang pemarah, saya harus membawa watak yang manja pula untuk menampilkan watak Kak Su sebagai seorang yang hipokrit. Perkara ini juga mencerminkan realiti yang menyedihkan terhadap manusia yang melakukan sesuatu perkara dengan kurang keikhlasan. Mahupun begitu, adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa Kak Su sejahat syaitan kerana Kak Su terbukti masih ada kebaikannya apabila Maaya diberi roti dan Nadine diberi payung tatkala hari sedang hujan. Watak Kak Su tidak boleh sepenuhnya difahami berdasarkan pendramatisan ini sahaja dan memperlihatkan keperluan membaca cerpen.


Pemahaman selaku pembaca

Kini, setelah saya membaca cerpen ini, pemahaman saya lebih kukuh. Saya terkesima pada bahagian-bahagian tertentu. Sepanjang saya membaca cerpen ini, saya mengimbas kembali pendramatisan yang berlaku dua bulan yang lalu. Saya rupanya kakak ipar Nadine. Padanlah, Kak Su harus menjaga Maaya, walaupun tidak ikhlas. Mahupun begitu, masih tidak dapat difahami mengapa perwatakannya sebegitu. Hal ini memberi ruang untuk pembaca mengandaikannya. Kepentingan Kak Su dalam cerita memperlihatkan kekurangan sokongan dalam kehidupan Nadine. Kak Su yang boleh dikatakan mempunyai perkaitan persaudaraan dengan Nadine sahaja kurang mengendahkan tentang segala sesuatu dalam kehidupan Nadine. Hal ini menjadikan Nadine tabah mengharungi liku-liku kehidupan dengan sendiri. Seandainya Kak Su ditiadakan, sukar untuk Nadine bekerja dan sifat kurang ihsan daripada masyarakat lain tidak menyerlah. Mahupun Kak Su boleh sahaja menjadi tempat meluahkan perasaan, namun Nadine dibiarkan dengan masalahnya sendiri. Hal ini jelas memberi kesan kepada Nadine yang dilihat sering melupakan sesuatu perkara kerana fikirannya yang bercelaru.


Saya terkesan kerana saya merasakan bahawa ada sebaris ayat yang muncul dua kali dalam cerpen tersebut, namun tidak digunakan langsung dalam pendramatisan, “Tempat ini tidak sesuai untuk Maaya.” Menurut pemahaman saya terhadap latar tempat daripada video RiceMedia, sememangnya tempat yang dikatakan tidak sesuai. Malah setiap dialog dan watak-watak tidak bernama yang muncul dalam cerita itu menunjukkan bagaimana sebuah rumah sewa kurang mampu menyediakan keselesaan dalam tumbesaran kanak-kanak. Latar tempat dan masyarakat tempat tersebut juga dijelaskan dengan teliti untuk menampakkan hal ini:


Tempat-tempat duduk taman permainan itu penuh dengan sampah sarap. Ada mangkuk-mangkuk pakai buang dan tin-tin kosong yang menakung air hujan. Ini menjadikannya bejana paling sesuai untuk pembiakan nyamuk. Ada juga botol-botol kaca bekas arak bergelimpangan umpama peninju-peninju yang tumbang dalam perlawanan. Atau mungkin pemabuk-pemabuk yang bongkang dalam khayalan. Terdapat juga puntung-puntung rokok serta kotak-kotak rokok pelbagai jenama yang bersepahan. Tong sampah di taman permainan itu mencongok tanpa makna. (ms 68)


Hal ini kurang ditekankan dalam pendramatisan melainkan cabaran-cabaran yang dihadapi Nadine diberikan perhatian lebih. Yang pasti, kisah ini sangat akrab dengan realiti kehidupan segelintir masyarakat Melayu yang dibelenggu pelbagai masalah: masalah perkahwinan, kewangan, jiran tetangga dan sebagainya.


Perwatakan Nadine digambarkan sebagai seorang yang masih lagi boleh bersabar berbanding dengan kebingitan Belle terhadap keadaan sekelilingnya dalam video yang dikatakan awal tadi. Belle ingin menunjukkan kehidupan yang tidak disenanginya menerusi kutukan terhadap keadaan sekelilingnya. Penulis juga ingin memaparkan watak yang tidak menyukai keadaan sekelilingnya tetapi masih sabar untuk meneruskan kehidupan. Hal ini menunjukkan kesungguhan penulis dalam menobatkan Nadine sebagai seorang jaguh dan menggalakkan pembaca juga untuk melihat masyarakat ini sebagai cekal. Di samping itu, nasihat juga diselitkan dalam cerita ini. Seperti contoh, kehadiran Michael yang diselitkan untuk mengajar pembaca menyiapkan payung sebelum hujan. Walaupun hal ini mungkin secara tidak langsung ingin menunjukkan bahawa kesukaran Nadine untuk menyimpan wang, pesanan ini serta perwatakan Michael ‘meringankan’ cerita agar ia tidak sarat dengan kesukaran dan kesedihan dalam kehidupan Nadine sahaja.


Akhirul kalam

Natijahnya, cerpen ini memberi gambaran yang bernas mengenai suasana kehidupan segelintir masyarakat di Singapura yang hidup di rumah-rumah sewa. Seringkali, masyarakat mengandaikan bahawa masyarakat ini tidak mahu bangkit. Namun, mereka sedang berusaha dalam keadaan kehidupan yang penuh cabaran. Semoga cerpen ini mampu membuka mata masyarakat tentang keperluan orang lain tanpa menilai mereka dengan prasangka yang kurang elok. Penulisan ini hanyalah pendapat peribadi saya. Saya berterima kasih kepada penulis cerpen ini, Safiyah Salmi, kerana telah memberikan saya peluang untuk membedah cerpen ini daripada pelbagai aspek sebagai watak yang berbeza.


Oleh Farah Adibah