Harimau

Harimau mati meninggalkan belang... Peribahasa lama yang tidak lekang... @sitiaminah nama di IG... @ahmadrahmat nama di FB.. Media sosial ramai menanti... Mungkin di Tiktok nama diabadi.. Terus menaip di telefon bimbit... Gambar diri terus dipetik-petik... Media sosial menjadi peribadi... Ada pula yang menjadi-jadi... Mulut kamu harimau kamu Peribahasa lama yang masih jitu... Suaramu terkekang di balik bibirmu... Bahasamu terletus dalam siaranmu... Siaran itu simbol mulutmu... Berkata-kata terserlah peribadimu... Mungkin kekal tak akan hilang... Bak harimau mati meninggalkan belang... Mulut kamu harimau kamu Peribahasa lama yang masih jitu... Jadikan mulut itu benteng dirimu... Bukan mulut yang memakan dirimu... Keselamatan kamu amanah buatmu... Harga dirimu terletak di jejarimu.. Sajak ini hanya sindiran belaka... Ingatan tulus buat kita semua... Ingat harimau juga mati kerana belang... Jangan nanti kamu pula yang gersang...

Harimau merupakan sejenis binatang yang begitu dekat dengan orang Melayu. Ia merupakan satu simbol yang kuat dalam kehidupan orang Melayu sehinggakan banyak peribahasa yang wujud kini daripada pemerhatian terhadap keadaan dan kehidupan harimau. Peribahasa-peribahasa tersebut masih kekal relevan kini meskipun tiada kelihatan harimau liar di mana-mana. Penulis terpanggil untuk mengutarakan tentang dunia kini yang semakin maju dengan penggunaan media sosial. Bak kata peribahasa “seperti harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Peribahasa ini amat relevan kerana nama-nama warga media sosial akan terus kekal di alam maya. Penulis tidak menafikan bahawa media sosial merupakan satu ruang yang positif apabila digunakan dengan baik. Begitu banyak siaran di media sosial yang memaparkan mesej-mesej positif. Tambahan pula, lontaran pendapat dan kajian sememangnya membawa begitu banyak manfaat dalam masyarakat. Ada juga yang menghiburkan sambil menyampaikan satu pesanan yang penting untuk masyarakat. Lihat sahaja isu terkini (Covid-19). Penggunaan media sosial banyak memberikan bantuan yang dapat dihulurkan untuk kemaslahatan masyarakat. Contohnya, makanan, pekerjaan dan maklumat penting dapat disebarkan dengan mudah melalui media sosial. Sesungguhnya ia lebih cepat dan pantas berbanding dengan bentuk media yang lain. Namun begitu, ada juga segelintir yang masih di dalam takuk keburukan. Kata-kata dan pendapat mereka hanya mencerminkan sifat mereka sendiri. Yang paling menyedihkan adalah apabila “mulut” mereka itu dijadikan sebagai paparan atau realiti sesebuah masyarakat. Mereka ini ibarat nila setitik rosak susu sebelanga. Maka dengan itu, penulis ingin mengingatkan bahawa “mulut kamu harimau kamu”. Keselamatan dan harga diri kita bergantung kepada ujaran kita sendiri. Ujaran yang kini bukan sahaja dilafazkan di bibir tetapi di media sosial yang mungkin tiada tarikh luputnya. Merujuk kepada situasi sekarang, dengan penutupan masjid-masjid ramai memberikan kata-kata nista dan negatif. Harga diri seseorang sebagai seorang masyarakat Melayu Islam Singapura tercemar akibat kata-kata yang ditulis tanpa berfikir panjang dan asbab yang sahih. Malah, kata-kata mereka seolah-olah mencerminkan sifat yang mementingkan diri sendiri. Zaman kini semakin mencabar kerana teknologi semakin maju dan berkembang pesat. Banyak perkara yang boleh dinyatakan dalam pelbagai ruang berbeza. Ramai orang dapat menulis dan mengutarakan hujah-hujah dalam bentuk penulisan walaupun mungkin dalam singkatan dan bahasa yang tidak sempurna. Setiap kata dan hujah itu istimewa. Namun, penulis juga ingin mengingatkan bahawa harimau juga mati meninggalkan belang. Keistimewaan dalam diri seseorang itu boleh merugikan. Beringatlah! Setiap orang ingin mengujarkan pendapat sendiri. Daripada ini, ia mencerminkan akal fikiran mereka. Pendapat yang ditulis dengan penuh emosi bagai ingin menunjukkan belang masing-masing, akhirnya mematikan diri. Apakah yang mungkin dapat diraih jika akhirnya pendapat sendiri merugikan diri? Dihentam dan dicaci yang akhirnya memalukan diri sendiri? Penulis sebenarnya ingin mengelakkan daripada menulis perkara-perkara yang berkaitan dengan isu semasa Covid19. Isu ini sebenarnya menerkam jiwa dan raga. Ramai orang dalam kerugian. Namun, penulis pasti ada hikmah di sebaliknya. Sajak ini diilhamkan daripada kejadian-kejadian di media sosial yang menampakkan harimau dalam diri seseorang individu. Seperti harimau, ada yang membunuh antara satu sama lain untuk memperlihatkan kekuatan masing-masing. Cuma ianya tidak nyata, lebih kepada kata. Tiada pertumpahan darah, namun maruah yang parah. "Harimau" mendukung makna yang simbolik. Ada peribahasa Melayu yang berkaitan dengan harimau melambangkan perkara positif dan begitu juga sebaliknya. Perkara ini lumrah. Ada yang baik dan ada yang jahat. Seperti harimau, manusia meninggalkan nama. Nama yang tercalit di media sosial. Kita seharusnya introspeksi diri. Kita ingin diingati sebagai apa? Carilah fakta-fakta mengenai harimau. Mungkin kita akan terkejut jika mendapati bahawa ada harimau dalam diri jiwa orang-orang Melayu. Sebaik-baiknya, duduklah seperti kucing, lompat seperti harimau. Jadilah pendiam yang berisi, tetap tangkas bekerja dan berfikir. @Siti Rosniah Jikalau ingin berupa harimau, usah berhati tikus.