Gunung Harapan: Pancaroba Kehidupan

Sajak ini membincangkan isu-isu yang dihadapi masyarakat yang sentiasa mengalami kemodenan. Kadangkala, kerana hidup begitu cepat, kita terlupa keadaan orang lain di keliling kita.

Penulis menyusunkan sajak seperti gunung, sepadan dengan tajuk. Penulis menceritakan pendakian yang “mudah” berlawanan dengan penurunan yang penuh pancaroba. Golongan manusia dalam masyarakat mempunyai lapisannya. Ada yang hidup senang, ada yang hidup susah. Ada yang sedang maju, ada yang masih mundur. Daripada sajak ini, penulis menggambarkan ada golongan yang hidup dalam senang iaitu dengan keperluannya semua mencukupi.

Namun, apabila kita membaca baris-baris seterusnya, dapat kita lihat gambaran hidup yang sebaliknya pula. Di sini, ada golongan dalam masyarakat yang hidup dalam kesusahan dan sentiasa perlu berusaha untuk mencari keselesaan. Dalam erti kata lain, keperluan asas mereka tidak tercapai. Sebagai pembaca, saya fikir penulis sedang mengajak pembaca untuk merenung tahap kemajuan kita sebagai satu masyarakat yang dikatakan sebagai inklusif.


Penulis juga mengkritik masyarakat yang menilai seseorang dari segi kejayaan dan kerjayanya.Penulis memulai dan mengakhiri sajak dengan “sijil” dan “pekerjaan” yang seolah-olah kini merupakan kayu ukur untuk membandingkan seseorang dengan yang lain. Malah, penulis juga secara tidak langsung menyampaikan amanat kepada kita bahawa kita tidak boleh berasa selesa dengan tahap pembangunan kita dan hendaklah kita terus berusaha untuk capai tangga kejayaan yang lebih tinggi secara inklusif.


Isu yang diangkat dalam sajak ini dapat dijadikan satu cerminan tentang keadaan masyarakat di Singapura. Pada November 2019, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) menerbitkan laporan tentang segolongan masyarakat yang tidak mempunyai tempat tinggal di Singapura. Laporan ini melaporkan bahawa terdapat kira-kira 921 hingga 1,050 gelandangan di jalanan-jalanan Singapura dan dikatakan bahawa hal gelandangan ini dianggap sebagai masalah yang kronik. Walaupun ada yang mempunyai pekerjaan atau tempat tinggal berdaftar atas nama mereka, mereka tetap menganggap jalanan-jalanan itu sebagai tempat tidur, kerana masalah-masalah peribadi. Penulis mahu menyampaikan kepada kita bahawa mereka juga layak diberi kehormatan kerana mereka juga seseorang manusia yang berfungsi dalam masyarakat. Penulis juga ingin mengingatkan kita untuk selalu bertimbang rasa kepada orang lain yang tidak senasib dengan kita. Dalam melalui kehidupan di dunia yang sentiasa berkembang, ada yang dapat menghadapi cabaran dengan senang dan ada yang tidak dapat mengatasi cabaran yang sama.


Oleh Avery