Gelap Dunia Siapa Yang Tahu

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar doa permohonan!”


Demikianlah doa Nabi Zakaria ‘alaihissalam (a.s.) kepada Tuhannya yang terakam dalam Surah ‘Ali Imran. Ketika itu, Nabi Zakaria a.s. sangat menginginkan seorang anak sungguhpun telah lanjut usia dan begitu juga dengan isterinya.


Beliau kemudian bertanya, “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku beroleh seorang anak, sedang isteriku mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur yang setua-tuanya?”


(Untuk kisah lanjutnya, boleh lihat Surah Maryam ayat 8 hingga 15.)


Seperti Nabi Zakaria a.s., ramai pasangan suami isteri sedang bermunajat untuk dikurniakan dengan keturunan yang akan menjadi penyejuk mata. Mungkin pasangan baharu, mungkin juga pasangan lama. Mungkin untuk anak kedua, ketiga atau keempat, mahupun yang pertama.


Kehamilan dan kelahiran merupakan waktu-waktu istimewa dalam kehidupan ramai wanita. Dan kebanyakan wanita akan mengalami fasa keibuan, atau sekurang-kurangnya berhubungan rapat dengan wanita hamil. Namun kadangkala, daripada menjadi bersemangat, gembira dan berada di ambang kesihatan yang baik (gambaran atau harapan semua wanita), barangkali sebahagian wanita menghadapi kemurungan.


Penekanan dan kesedaran umum lazimnya terletak pada kemurungan selepas bersalin (postpartum depression). Bagaimana pun, penyelidikan menunjukkan bahawa kemurungan antenatal, atau kemurungan selama kehamilan, mungkin lebih sering berlaku. Secara global, kekerapan terjadinya kemurungan antenatal sebenarnya amat tinggi sehinggakan dianggap sebagai 'gangguan mental biasa' selama kehamilan. Bahkan, di Singapura, kemurungan antenatal merupakan masalah kesihatan awam utama yang mempengaruhi kira-kira satu daripada 10 wanita!


Jika begitu, mengapakah hal ini tidak dibahaskan dalam masyarakat?


Ciri-ciri kemurungan yang biasa seperti kehilangan selera makan, kurang tidur, merasa letih dan sering lupa adalah serupa dengan simptom kehamilan. Ini menyebabkan ramai wanita yang menyalah anggap ciri-ciri tersebut sebagai sebahagian daripada kehamilan tanpa menyedari akibatnya yang lebih serius. Gejala-gejala yang boleh membezakan kedua-duanya ialah pemikiran negatif dan kesalahan diri yang berlebihan.


Adakah ia bermakna kesilapannya terletak pada wanita hamil yang kurang peka?


Apabila seorang wanita hamil menangis atau beremosi, reaksi umum adalah "Itu disebabkan hormonnya!" Walaupun ia mungkin benar terutama sekali pada trimester pertama ketika tahap oestrogen dan progesterone tidak seimbang, perubahan hormon ini tidak menafikan kebarangkalian permulaan (onset) kemurungan antenatal. Walau bagaimanapun, ia juga tidak bererti setiap wanita hamil itu tertekan dan dilanda kemurungan.


Berikut merupakan beberapa kemungkinan pencetus kemurungan antenatal:


Pertama, sekiranya wanita hamil itu mempunyai hubungan sulit dengan ibu mereka sendiri - sebarang konflik emosi yang tidak dapat dileraikan boleh membangkitkan emosi yang serupa.


Kedua, sekiranya wanita hamil itu bekerja penuh masa - mungkin ianya agak mencabar untuk menyeimbangkan kerjaya dengan kehamilan, terutamanya jika rakan sekerja atau pihak atasan tidak memahami atau menyokong.


Terakhir, jika ia merupakan kehamilan yang berharga atau jika terdapat kesukaran mengandung atau sejarah keguguran - mungkin ada peningkatan risiko kemurungan.


Oleh kerana kemurungan mungkin dikaitkan dengan kehilangan dan / atau perubahan masa lalu, Psikoterapi Interpersonal (IPT) dapat membantu wanita-wanita hamil menyelesaikan masalah-masalah tersebut atau menguruskan konflik yang mungkin menyumbang kepada pengalaman mereka dengan kemurungan. Sekiranya hal ini dapat diurus dengan baik, kemungkinan kemurungan selepas bersalin dapat dikurangkan dan kebajikan wanita-wanita ini serta bayi-bayi mereka dapat terpelihara.


Wanita-wanita hamil yang dilanda kemurungan memerlukan sokongan dan pemahaman daripada semua lapis masyarakat. Kegelapan dunia mereka selama kehamilan perlu disuluhi kasih sayang dan keprihatinan, serta bantuan fizikal juga kerohanian. Kemurungan tidak sepatutnya dilihat sebagai kekurangan kerohanian agama. Sebaliknya, ia perlu diterima sebagai sebuah masalah kesihatan yang ada penawarnya.


Safiyah Salmi