Di Sisi Mu: Unsur Teater dalam Bengkel Islamik

‘Di Sisi Mu’ telah dijalankan pada 10 November 2019 – anjuran bersama Keelat Theater Ensemble dan Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau, Singapura. Dikendalikan oleh Puan Adila Mohckeram, Puan Nurul Aiida Tubiman dan Ustazah Sofiah Ismani, bengkel theater&tafakkur yang bertemakan ‘Wanita Solehah’ ini disulami dengan beberapa unsur teater yang memberi nafas segar terhadap pencerakinan persoalan-persoalan yang ingin disampaikan. Peneraju program khusus buat Muslimah dewasa ini ialah Encik Gene Sha Rudyn, seorang pelakon/pengarah/penulis yang telah memenangi pelbagai anugerah. Beliau telah membuat persembahan di pesta-pesta seni antarabangsa (international arts festivals) seperti di Budapest, Hobart, Hong Kong, Perth, Wellington dan Yokohama.

Selama satu jam setengah, para peserta disajikan dengan aktiviti-aktiviti menarik. Bengkel ini dimulakan dengan aktiviti kenal suai. Seterusnya, para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan. Secara berkumpulan, para peserta meningkatkan nilai kerjasama melalui sebuah permainan teater. Para peserta perlu mendengar arahan dengan teliti dan melaksanakannya dengan betul. Contohnya, peserta harus meletakkan siku kanan mereka di atas bahu orang di sebelah kanan dalam bulatan lalu bergerak dari garisan A ke garisan B. Anggota-anggota tubuh tersebut tidak boleh dipisahkan. Kumpulan yang lebih tangkas akan meraih satu mata.


Kemudian, Puan Adila dan Puan Aiida mempersembahkan sebuah sketsa. Sketsa itu diselangi dengan interaksi audiens setiap kali satu babak berakhir dengan tableau vivant (atau secara ringkas, tableau). Tableau merupakan sebuah adegan beku dan senyap yang menceritakan sesuatu secara visual. Teknik teater sebegini boleh memberi kesan kepada audiens di mana para pelakon membeku dalam gaya yang menggambarkan satu saat penting dalam cerita.


Sketsa tersebut telah diilhamkan dari ayat-ayat suci al-Qur’anul Karim iaitu ayat 4 dan 9 dari Surah al-Qasas juga ayat 11 dari Surah at-Tahrim. Ayat-ayat ini merujuk kepada kisah di antara Asiah dan Fir’aun. Sketsa tersebut merupakan skrip original Keelat Theater Ensemble berkisarkan sepasang suami isteri yang mempunyai sebuah ladang tamar. Hubungan dan ketaqwaan mereka diuji tatkala pada suatu hari terdapat sebuah pohon tamar muda ditinggalkan di hadapan pintu mereka.


Bengkel kemudian diteruskan dengan aktiviti bertulis yang menghendaki para peserta untuk menyumbang saran. Pada awalnya, para peserta perlu mengenal pasti ciri-ciri wanita solehah yang telah ditonjolkan melalui sketsa yang dipersembahkan. Berikutnya, setiap kumpulan harus memaparkan tableau yang sesuai untuk menyampaikan ciri-ciri yang disepakati. Setelah itu, setiap kumpulan perlu melakarkan langkah-langkah saranan untuk menjadi seorang wanita solehah. Sebagai penutup, setiap kumpulan diberikan peluang untuk membentang hasil perbincangan mereka.


Secara kesimpulan, seni teater berfaedah untuk masyarakat Islam dan ia dapat dilihat melalui bengkel yang dijalankan ini. Malah, teknik teater seperti tableau vivant boleh juga dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran untuk menyemak pemahaman para pelajar tentang konsep utama dalam sesebuah petikan karangan misalnya. Teknik teater ini juga mampu menyemai nilai-nilai seperti kerjasama dan daya bingkas dalam diri para pelajar. Tambahan lagi, ia menyokong pembelajaran berlandaskan pengalaman dan menggalakkan pemikiran kritikal. Selain itu, para pelajar diberi ruang untuk menemui kekuatan dan bakat mereka sendiri. Gabungan teater dan bengkel Islamik sebegini amat digalakkan bagi memupuk sebuah masyarakat Melayu moden yang diperkayakan dengan ilmu seni teater dan agama Islam.


Safiyah Salmi

(Penulis telah menghadiri bengkel tersebut dan mempercayai bahawa penggabungan teater dalam pendidikan boleh mendatangkan manfaat kepada para pelajar.)