Dari Kaca Matamu

Pakej busana yang dinanti-nantikan oleh Bella sudah pun tiba. Dengan penuh keghairahan, Bella memakai baju-baju yang ditempahnya dalam talian itu lalu berdiri di depan cermin. Namun, keghairahan bertukar menjadi kemurungan. Hatinya pecah seribu. Bella mengeluh. Dia memerhatikan badannya dari atas ke bawah. Dia meneliti lengannya. Digoyang-goyangkan lengannya. Dia meneliti perutnya. Disedut perutnya. Dia meneliti kakinya. Dilenturtegangkan kakinya. Bella mengeluh sekali lagi.


“Aku tak faham. Kenapa model semua pakai cantik-cantik? Giliran aku pula, nampak babat sana, babat sini. Adakah aku gemuk?” Bella terfikir seorang diri.


Sejak sebelas tahun yang lalu, fikiran Bella dibelenggu dengan masalah imej badan. Tidak disangkakan, pertanyaan semudah “Kaki kau tu…muscles or fats?” boleh memusnahkan keyakinan diri seseorang. Cetusan kata-kata itu menusuk jauh ke fikirannya. Siang dan malam, berserabut mindanya, tertanya-tanya dirinya tentang imej badannya.


Pakaian-pakaian itu disumbat kembali dalam bungkusan supaya dapat dipulangkan kepada busana tersebut, atas alasan ‘Baju tidak muat’. Bella cuba untuk melupakan segalanya. Tiba-tiba, senyuman lebar terukir di bibirnya. Bella teringat tentang pertemuannya dengan tunangnya Isa pada keesokan hari. Isalah satu-satu manusia yang mulia hatinya. Sifat penyabar dan setianya selalu menenangkan hati Bella.


Pada keesokan hari, tunangnya sedang menunggunya di luar rumah. Seperti biasa, sebelum melangkahkan kaki ke luar rumah, Bella melihat cermin. Namun, tidak sempat dia mengeji dirinya. Bella pun menyambut tunangnya dengan senyuman yang manis.


“Assalamualaikum, Bella. Wah, cantiknya awak. Love your dress,” puji Isa.


“Waalaikumusalam, Isa. Mana ada cantik. Bella dah gemuk ini. Awak tak nampak ke?”


“Gemuk? Mana ada awak gemuk. Kurus adalah!”


“Merepek lah awak ni,” jawab Bella.


Walaupun telah beribu-ribu kali Isa memuji paras wajah Bella, Bella sukar untuk menerimanya. Soalan yang ditujukan sebelas tahun yang lalu memenuhi kotak fikirannya. Isa pula tersenyum lebar melihat wajah tunangnya tersinar cerah dengan pancaran mentari. Walaupun Bella selalu menolak puji-pujiannya, Isa sedar dan faham bahawa tunangnya menghadapi masalah imej badan. Namun, Isa tidak akan berputus asa. Isa akan berpegang teguh dengan pendiriannya dan cuba secara perlahan-lahan untuk meningkatkan keyakinan diri tunangnya itu.


Isa mengeluarkan kameranya dari begnya lalu menujukan kamera itu ke arah Bella.


“Bella, senyum,” katanya.

Isa pun memetik gambarnya lalu memuji kecantikan Bella. Bella kurang senang melihat gambar-gambar yang dipetik itu. Mukanya berkerut.


“Hah, ambil lagi! Bella nampak gemuk,” rungut Bella.

Isa pun memetik gambar dari sudut-sudut yang berbeza supaya Bella kelihatan lebih kurus. Bella menatal gambar-gambarnya. Dia memerhatikan badannya. Dia meliti lengannya. Dia meneliti bahagian perutnya. Dia mengeluh. Isa memerhatikan kelakuan tunangnya itu.

“Bella, kenapa awak mengeluh? Tak cantik ke gambar-gambar tu?”


“Isa, saya gemukkah? Kenapa saya nampak gemuk sangat ini? Saya tak sukalah badan saya,” kata Bella diselaputi perasaan pilu.


“Sayang, saya dah cakap dah banyak kali dan saya akan mengulang sebanyak mungkin. Awak tak gemuklah. Awaklah perempuan yang tercantik.”


“Entahlah, Isa. Saya pun tak tahu kenapa…” Bella mengeluh lagi.

“Bella, kalau awak dapat lihat diri awak dari kaca mata saya, pastinya awak tergamam. Sampai hati awak mencela rupa badan awak. Awak manusia terindah ciptaanNya bagi saya. Saya cintakan awak bukan kerana saya cintakan rupa awak tetapi cinta saya adalah kerana keindahan, kemuliaan dan kesucian hati awak terhadap saya. Selama 5 tahun kita bersama ini, tak pernah terlintas dalam fikiran saya yang awak ini gemuk. Tak pernah. Saya rasa buang masa sahaja kalau kita mencintai seseorang kerana sosok dan rupanya kerana itu semua hanya sementara sahaja. Yang kekal itu hati kita, sayang.”


Bella memandang tunangnya. Dia dapat merasakan keikhlasan kata-kata tunangnya itu. Mulutnya terkunci, hati terkatup dan tenggelam dalam kepiluan. Namun, bagaimanakah Isa boleh melihat dirinya begitu? Mengapakah sukar bagi Bella untuk menyayangi dirinya? Mengapakah Bella selalu menghina badannya seolah-olah ia tidak bernilai?


“Kalau boleh aku pun nak lihat diri aku dari kaca matamu, Isa. Tak perlu Iagi berperang dengan diri sendiri,” bisik sanubari Bella.


Shafizah Johan