Cermin Pertemuan

apakala Adam ingin mengenal dirinya, Tuhan menjelmakan Hawa daripada susuk Adam. melalui Hawa sebagai cermin, Adam memandang dirinya. kata sesetengah yang arif, mahar pernikahan mereka sepotong selawat ke atas junjungan, kerana itulah hakikat penyatuan yang terbit lalu pulang kepada cahaya Muhammad.


maka, sejahtera Adam mengenal diri melalui cermin; mengenal Allah tatkala diri terluruh daripada keakuan. cermin bukan lagi sekadar penyurat bayang tetapi jalan yang mendewasakan dalam perkenalan asma’ dan sifat. hari ini, aku menjadi Adam yang bakal terjatuh ke bumi. segala tayang wayang sudah tamat dan lakonan sudah dirampungkan. kosmetik sudah disingkap dari wajah kewanitaan lalu Hawa kelihatan seperti Hawa kembali; Hawa mengenal Hawa melalui Adam. rajuk Hawa mengenal keinginan seorang Adam, yang tersembunyi di balik dirinya sendiri. tangis Adam kembali ke syurga melalui seorang Hawa. sendu Hawa seorang musafir yang kembali ke kampung halaman - tulang rusuk bertemu asal mengenal usul mengirap geresah.


diubah suai daripada ‘Cermin Pertemuan’

Iftitah (2019), Baytul Hikma


Khairool Haque