CERMIN MUHASABAH DIRI SEBELAS PENULIS

Antologi Cerpen: Cermin (CERMIN) menghimpunkan sebelas (11) cerpen pilihan Kumpulan Karyawan Melayu NTU-NIE (KKMNN) yang mengungkap pelbagai tema dan persoalan. Melalui konsep pantulan, biasan dan hamburan, garapan pengalaman hidup sama ada dilalui para penulis secara peribadi mahupun dikutip dari gerak indera yang peka lewat pemerhatian suasana sekeliling berjaya dinukilkan dalam CERMIN menerusi kekuatan teknik penceritaan, gaya bahasa yang puitis, minda yang intelek, watak, latar dan sosiobudaya.


Dibahagikan kepada tiga bahagian, karya-karya dalam CERMIN sengaja disusun sedemikian seolah-olah untuk memberi pembaca membuat multi-tafsiran ataupun ruang fikir bagi menganalisa serta mencerna setiap karya melalui mesej yang ingin disampaikan oleh setiap penulisnya.

Bahagian pertama – Refleksi (Pantulan) memuatkan tiga (3) karya, bahagian kedua – Refraksi (Biasan) mengumpulkan empat (4) karya dan bahagian ketiga – Difraksi (Hamburan) juga menyumbangkan empat (4) karya penulisnya, membawa isu-isu yang masih lagi relevan dan membelenggu masyarakat mutakhir hari ini. Walaupun persoalan mengenai nilai-nilai kemanusiaan, persahabatan, kasih sayang, penderaan, kejujuran, jati diri, bicara budi dan introspeksi diri pernah disentuh dalam pengkaryaan penulis-penulis terdahulu ataupun sebelumnya, ia tetap merupakan evolusi problema yang kompleks dalam sejarah ketamadunan manusia yang memerlukan kebijakan penulis untuk terus mengapungkan persoalan ataupun solusi sebagai perkongsian renungan masyarakat. Menyingkap secara keseluruhan, corak dan bentuk pengkaryaan kesemua penulis muda ini boleh dikatakan telah menerobosi penerokaan gaya baru bagi penyajian karya kreatif yang mencerminkan pemikiran penulis muda Melayu Singapura zaman ini.


Secara mutlak, konsep cermin digunakan sebagai pelantar berkarya bagi sebelas (11) penulis memantul, membias dan menghambur idea-idea untuk dicerna menjadikan karya cerpen dalam kumpulan CERMIN berstruktur dan menarik untuk diikuti pembaca.


“Sahabat” karya Shafie Husein dan “Lagi Satu Kesalahan” karya Nurul Fazilah Salim memantulkan isu hubungan persahabatan, kejujuran, penyesalan, kebangkitan dan jati diri melalui refleksi minda watak-watak utama dalam karya-karya mereka. Larik-larik bahasa yang lancar memudahkan lagi pembaca menghayati imejan-imejan yang ingin dipaparkan penulis. Berbeza dengan karya dua teman penulisnya, “Cahaya atau Bayangan” tulisan Avery Dahril Sateria melayari persoalan melalui teknik kembara yang meneroka bahagian-bahagian deria dalam diri. Corak introspeksi diri dengan mengajukan persoalan demi persoalan bermula dengan akar hingga ke puncak permasalahan.


“Bolehkah refleksi diri kita menzahirkan diri sendiri, jauh lebih daripada apa yang kita jangkakan. Kehidupan itu bebas kerana diri kita sendiri memahami yang ilmu, kesedaran, kepuasan dan iman dalam diri sendiri.”

Petikan di atas yang menarik dalam karya Avery Dahril Sateria ini mengajak pembaca merumus satu perspektif dan bukan kebenaran mutlak yang merangkumi segala identiti watak dalam karya penulis kerana mereka yang ingin berfikir adalah mereka yang wujud di alam nyata dan perlu menghuraikan segala permasalahan mereka sendiri. Refleksi hanya bebayang gambaran dalam cermin diri, fikiran atau sebagainya yang bermain dalam ruangnya sendiri. Ia boleh dianggap satu teknik penutup yang meninggalkan kesan dan kesedaran kepada pembaca secara intelektual.


Kumpulan karya di bahagian kedua – Refraksi (Biasan), mengumpulkan tulisan empat (4) penulis yang tidak kurang menyerlah dari segi idea dan pengolahan cerita. “Syurga Sara” karya Nurain Abdul Raheem mengupas isu pengorbanan perasaan, penderaan rohani dan jasmani yang sering diputar, diulang-tayang baik dalam bentuk drama, novel, puisi mahupun genre-genre sastera yang lainnya. Menariknya, ia menghidangkan jati diri wanita Melayu yang masih menyantuni nilai-nilai tradisi, menghormati pilihan orang tuanya, biarpun budaya memilih jodoh terletak pada pilihan individu yang mempunyai hak dan kebebasan mereka di zaman ini.


“Penat” karya Farah Adibah menyelongkar perasaan dalaman seseorang yang telah letih jiwanya. Suasana persekitaran hidup yang meremehkan dan keperluan komunikasi dari orang-orang terdekat dan tersayang menjadikan watak utamanya begitu sensitif hingga menyentak mindanya yang berkesudahan dengan tragedi.


“Sekadar Harapan” karya Nur Shafizah Johan juga menjadikan pentingnya komunikasi teras dalam pengaliran cerita bagi membina konflik antara watak ayah dan anak. Berbeza dengan “Penat” yang berakhir dengan insiden dramatik, “Sekadar Harapan” telah memberi harapan baru bagi watak utamanya untuk meneruskan impiannya.


“Aku Wanita” karya Muhammad Zulhilmi mengakhiri ceritanya dengan mengajak wanita yang dibelenggu penderaan rumah tangga agar berani membuat keputusan demi masa depan. Olahan ceritanya berstruktur dengan menggunakan bahasa yang mudah dicerna pembaca.


Kesimpulan mengenai keempat-empat cerpen yang terkandung dalam bahagian ini, kesemua penulis seakan memberi anjakan fikiran kepada watak-watak utama membuat pilihan. Sama ada ia menjurus kepada kebaikan mahupun sebaliknya, setiap keputusan yang diambil memerlukan pertimbangan akal yang stabil. Namun faktor persekitaran tidak kurang mempengaruhi minda dalam membuat sesuatu keputusan. Silap membuat pilihan tentu akan menjerumus manusia ke lembah kehancuran.


Kumpulan karya di bahagian ketiga – Difraksi (Hamburan) seakan menghambur kemuncak refleksi dan membias segala isu-isu yang dibangkitkan dengan olahan-olahan cerita yang mencabar minda untuk dihadam pembaca secara intelek. Dimulai dengan karya Siti Rezkiah Radzelee “Warna Kita”, pembaca diajak merenung secara mendalam diskriminasi pertimbangan akal budi manusia yang lumrah berlaku di mana saja. Pendekatan penulis mengungkap sindiran secara simbolisme merangsang pembaca menekuni makna yang tersirat di sebalik warna-warni kehidupan.


“Pulut Inti Bak Chang” karya Safiyah Salmi menyusur dilema kebanyakan wanita hari ini, menginginkan zuriat sebagai lambang ikatan kasih sebuah mahligai bahagia yang dibina atas nama perkahwinan. Penantian sekian lama akan sesuatu pengharapan seringkali merasa diri diburu bayang-bayang kebimbangan akan perubahan iklim pasangan dan menerbitkan rasa cemburu dengan kehadiran watak-watak yang mencurigakan.


Khairil Bahri dalam karya “Baju Melayu Putih” telah meneroka idea yang menarik dan jarang disentuh oleh kebanyakan penulis tentang perjalanan pengurusan mayat dari mula dia dimandikan hingga berakhir ke liang lahad. Teknik penyampaian yang berteka-teki, menjentik perasaan ingin tahu pembaca untuk meneruskan bacaan sampai ke akhir cerita. Keghairahan watak utama untuk memakai baju Melayu berwarna putih sempena menyambut hari raya bersama orang-orang tersayang memercikkan keinsafan bahawa manusia bukan sebaik-baik perancang dalam menentukan haluan dan aturan perjalanan.


“Onomatopia” karya Muhammad Khairool Haque yang mengakhiri bahagian kumpulan ketiga ini umpama mengajak pembaca menikmati hidangan juadah yang lazat lagi menyeronokkan. Seperti khayal memakan gorengan yang enak tiba-tiba tergigit lada yang bahang membakar lidah hingga terasa ke perdu hati. Sinis dan tajam, percampuran pendekatan satira dan simbolisme diadun menjadikan ia komponen yang menjalur cerita ke saraf minda setiap pembaca untuk menafsir, mencerna, menilai ragam-ragam manusia yang berjubahkan kesempurnaan di mata penglihatan.


Secara keseluruhan, kesemua penulis dalam kumpulan cerpen CERMIN telah berjaya memantul, membias dan menghambur segala permasalahan yang masih berlegar di gelanggang permainan hidup masyarakat kota hari ini. Objek cermin yang digunakan sebagai cerminan bermuhasabah diri bagi mengapung, membincang, membedah segala isu kepincangan masyarakat merupakan teknik yang kreatif dan segar. Sejujurnya, saya berasa kagum dan bangga akan ketekunan setiap penulis dalam kumpulan ini mencipta identiti kepengarangan dengan idea-idea kreatif yang merangsang perkembangan sastera tanah air. Syabas kepada semua. Semoga anda semua berjaya mencipta nama dan sejarah bagi pelestarian Sastera Melayu Singapura.


SAMSUDIN SAID

5 Safar 1442

23 September 2020



Biodata Encik Samsudin Said


Samsudin Said menulis sejak berusia 15 tahun. Beliau merupakan seorang penyair, pelakon dan penulis cerpen, puisi, skrip teater, televisyen, radio dan Bangsawan. Seorang aktivis seni yang aktif dan mapan. Pernah menjawat kedudukan sebagai Ketua 1 di Perkumpulan Seni (PS), sebuah badan budaya yang berdaftar di Singapura. Kini menjawat tugasan sebagai penasihat bagi badan budaya tersebut dan juga Timbalan Ketua 2 Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS’50). Telah memenangi banyak hadiah dalam produksi skrip drama TV anjuran Stesen TV Suria, MediaCorp, Singapura. Antara kategori yang dimenangi: Anugerah Drama Bersiri Terbaik 2011 - "GERIMIS DI HATI", Anugerah Drama Bersiri Paling Popular 2013 - "ANAK METROPOLITAN", Anugerah Drama Bersiri Terbaik 2015 - "BINGIT", Anugerah Drama Bersiri Paling Popular 2015- "MENGEJAR MENTARI", Anugerah Drama Bersiri Paling Popular 2017 - "ADUH BIBIKKU!".


Memenangi Anugerah Persuratan 1993 bagi skrip drama radio "HIJRAH", Hadiah Sastera Singapura 2016 dan Anugerah Persuratan 2017 bagi buku antologi puisi "TAFSIRAN TIGA ALAM". Buku kumpulan puisi “SEPATU MIMPI” memenangi Hadiah Sastera Singapura 2020.


Puisi beliau berjudul "SEORANG IBU TUA DI BAWAH JEMBATAN BENJAMIN HENRY SHEARES" memenangi Hadiah Sastera 2017 - anjuran bersama Universiti Nasional Singapura & Angkatan Sasterawan 50. Beliau juga memenangi Hadiah Pena Emas (Sayembara Puisi) bagi tahun 2011, 2013, 2015 & 2017 - anjuran Majlis Seni Kebangsaan Singapura.

Antara buku-buku yang diterbitkan; "TIGA VISI” (Antologi Skrip Drama Pentas), tulisan bersama penulis Mohd Raman Daud & Hj Abdul Ghani Hamid, “SERAMPANG 12” (Tarian Melayu), tulisan bersama penulis Hartinah Ahmad, “GERIMIS DI HATI (Skrip Drama Televisyen), tulisan bersama penulis Amanah Mustaffi, Hamed Ismail & Hartinah Ahmad, “TAFSIRAN TIGA ALAM (Antologi Puisi), tulisan bersama penulis Hamed Ismail dan Hartinah Ahmad, “SATRIA MENARA PUTIH” (Skrip Bangsawan Pentas), Antologi puisi “ADA YANG BERKATA SAYAP-SAYAP DUNIA SUDAH TUA”, Kumpulan puisi “SEPATU MIMPI”.


Karya puisi beliau juga banyak termuat di penerbitan buku antologi bersama di Malaysia dan Indonesia.