Bergegas Hati ke kerja

Hati masih tidur daripada lena, berdengkur terlentang di atas katil. Akal cuba untuk mengejutkan Hati yang nampak sedang bermimpi.“Bangun Hati! Sudah lewat, perlu panaskan enjin pekerjaan, perlu pandu kehidupan, ramai yang sedang menunggu!”


Hati terbangun mencari kaca mata niat. Meraba-raba, terpinga-pinga hati mencarinya. Mengusap air liur semangat yang timbul dalam mimpi. Mata hati menjadi rabun kerana mencari niat.Kaca mata niat yang terletak di tepi katil terjatuh. Keretakan kaca mata terlihat saat hati memakai.“Haish, kalau macam ini rabun niatku untuk menjalankan tugas. Tapi tak mengapa, aku ada kaca mata niat yang lain,” bisik sendiri hati.


“Tapi niat yang ini tak jelas. Tak apalah asalkan aku ada niat, aku boleh nampak sudah cukup,” kata Hati untuk menyakinkan diri.


Akal pula sedang siapkan sarapan budi untuk kenyangkan Hati. Hati bergegas mandi membersihkan kotoran yang melekat pada hari-hari sebelumnya. Namun, dalam keadaan kalam kabut, hati tak sempat menggunakan sabun keceriaan dan shampu ketenangan. Hati kalam kabut mengambil bag tanggungjawab yang semakin berat kerana dilonggokkan dan tidak terkemas. Memakai kasut keresahan dan membawa kunci kejayaan untuk memandu kehidupan Hati tergesa-gesa keluar rumah impian. Hati terlupa makan sarapan budi dan kopi ilmu.


Saat Hati sampai di tempat kerja, perutnya kosong berkeroncong. Sarapan budi yang sepatutnya dimakan itu dia terlupa. Kasihan Akal menyiapkannya. Tapi, tak mengapa. Hari ini, Hati perlu membuat pembentangan amalan kepada Roh. Hati sudah siapkan pembentangan sepanjang malam. Tidur Hati tidak cukup selama beberapa malam. Sehingga Hati kadangkala tidak bermimpi dan kepenatan akibat tidak cukup tidur.


Apabila giliran Hati untuk mempersembahkan pembentangan amalan kepada Roh dan juga bahagian badan-badan yang lain. Hati rebah kepeningan. Kaca mata niat terjatuh dan pecah. Hati seakan-akan buta kerana kepala Hati terhentak lantai menjejaskan penglihatan tujuan yang berkeliaran. Roh dan anggota badan lihat kehairanan. Tiada sesiapa yang membantu Hati. Mereka membiarkan Hati terdampar di atas lantai kegagalan. Keseorangan, Hati menjerit meminta tolong. Tetapi suara Hati tidak kedengaran. Sehingga nafas jati diri semakin sukar untuk menarik udara. Jantung harapan semakin pelan degupannya. Sehingga Akhir pitam. Tiada pertolongan daripada sesiapa.


Roh hanya menelefon malaikat. Menyuruh Hati diangkat dan dibawa pergi ke kuburan silam.


Khairil Bahri