Adakah Aku Manusia Atau Bukan?

Ramai di antara kita suka dihiburkan dengan cerita-cerita fiksyen dalam televisyen, buku dan dalam talian. Kita dihiburkan dengan cerita antara Si Baik dan Si Jahat lalu kita akan bertepuk tangan apabila Si Baik menang. Namun, dalam kita terhibur, kita sewajarnya berhenti sejenak untuk merenungkan mesej yang ingin disampaikan. Tanpa disedari, cerita fiksyen itu sebenarnya merupakan cerminan kehidupan nyata walaupun jalan cerita itu bersifat abstrak atau kebudak-budakan. Oleh itu dalam renungan ini, saya akan kongsikan dua soalan yang tercetus dalam minda saya ketika saya membaca buku Frankenstein (1818) yang ditulis oleh Mary Shelley.

Siapakah sebenarnya ‘monster’ dalam cerita ini?

Dalam novel Frankenstein (1818) ini, terdapat dua watak – Dr. Frankenstein dan makhluk ‘monster’ yang bergelar 'Creature'. Masing-masing mempunyai ciri-ciri baik dan buruk yang tersendiri. Dr. Frankenstein merupakan seorang doktor yang menginginkan kekayaan dan kemasyhuran sehingga sanggup mencipta kembali manusia. Maka, beliau pun mencipta makhluk yang digelar sebagai “Creature”. Bak pepatah Inggeris, ‘playing God’.


'Creature' pula merupakan makhluk yang mulanya baik, namun akibat ditinggalkan oleh Dr. Frakenstein, dibenci, diherdik dan disakiti oleh orang ramai dalam perjalanan beliau, dendam telah bertakhta dalam diri beliau. Satu peristiwa yang mengakibatkan beliau ingin membunuh adalah tatkala Dr. Frankenstein memungkiri janji beliau untuk membina satu pasangan untuk ‘Creature’. Beberapa saat sebelum pasangan beliau diberikan ‘nyawa’, Dr. Frankenstein membunuh pasangannya di hadapan mata beliau. Maka, beliau pun berikrar untuk membunuh orang-orang kesayangan Dr. Frankenstein.


Sepanjang pembacaan saya, susah untuk saya tentukan siapa yang patut saya sokong. Beginilah rumit sifat seseorang insan, selalu berbolak-balik antara kebaikan dan keburukan kerana keadaan di sekeliling. Barangkali dalam kehidupan seharian kita, binari ini tidaklah seteruk memilih antara membunuh atau tidak, namun mungkin ia lebih halus.


Menerusi pembacaan saya, berikut merupakan ciri-ciri 'monster':

  1. ingin melakukan kerosakan dari segi fisikal seperti mana ‘Creature’ ingin melakukan kerosakan kerana mahu berdendam.

  2. melalui gangguan emosi dan rohani seperti mana ‘Creature’ tidak ingin ada ketenangan dalam kehidupan Dr. Frankenstein.

  3. bersifat tamak seperti Dr. Frankenstein yang menginginkan kenamaan.

  4. berani menghancurkan hubungan antara makhluk dan Tuhan seperti Dr. Frankenstein yang telah melangkah sempadan antara dirinya sebagai seorang manusia yang mempraktikkan sains dengan kemampuan beliau mencipta dan menjaga seorang makhluk yang dibinanya.

Apakah perbezaan antara manusia dan si 'monster'?

Sudah tentu, tidak ada makhluk ‘monster’ secara realiti. Namun, ciri-ciri ini hadir dalam diri kita yang bergelar ‘manusia’. Tetapi bezanya, kebaikan dan keburukan sudahpun bercampur aduk dalam diri kita. Walaupun ‘Creature’ kelihatan menyeramkan dan lain daripada susuk tubuh manusia, beliau masih ada sifat keseorangan dan memerlukan pasangan serta perhatian orang lain. Ini boleh dikaitkan dengan ‘Creature’ yang keseorangan dan memerlukan pasangan serta perhatian orang lain.Walaupun Dr. Frankenstein didorong oleh sifat ingin kemasyhuran, dan tidak mengendahkan ciptaan ‘Creature’ beliau, beliau masih ada sifat kemanusiaan kerana ingin melindungi insan-insan yang tersayang daripada pembunuhan ‘Creature’. Jadi, kita nampak bagaimana rumit kebaikan dan keburukan seseorang insan,masih ada sifat peri kemanusiaan dalam diri Dr. Frankenstein yang ingin melindungi insan-insan yang tersayang.

Justeru, saya berpendapat bahawa garisan antara manusia dan ‘monster’ dalam diri kita mungkin kurang jelas. Sebagai insan yang lemah, kita dimomok rasa nafsu dan adakala kita terdorong untuk membuat kebaikan. Dalam erti kata lain, apa yang membezakan antara mereka yang menang dan kalah dalam perlawanan antara kebaikan dan keburukan ini ialah cara untuk menjadikan kebaikan sebagai pemandu kehidupan supaya tidaklah kita terkawal oleh kejahatan.


Nurul Aini Binte Ithnin