Padi

Resmi padi ini kami bawa dalam perjalanan menuju makrifat. Tunduk ini ialah jasad yang bersujud dalam penyerahan, tanpa membangkit kembali seperti Idris yang tidak ingin keluar daripada syurga. Isi ini ialah kesedaran akan hakikat insan, yang mengalirkan sungai hayat menuju perkenalan.


Di atas meja, kami makan nasi tanpa melihat kepada padi kerana kehidupan ini keterburuan dalam panjang angan. Jasad ini berlari tanpa bergerak setapak mengenal cahaya. Angan ini terlalu panjang dan kami sibuk berdoa tanpa memandang dalam tawajuh.


Daripada padi, menjadi beras, menjadi nasi, menjadi darah, menjadi mani. Daripada mani, menjadi jauhar menjadi insan Muhammadi mengenal Aku Sejati. Alif ini membentuk huruf mim; daripada Allah kepada Muhammad.


Resmi padi ini kami bawa dalam perjalanan menuju makrifat. Semakin berisi semakin menunduk; semakin kenal semakin sujud; tatkala sujud kami bermikraj dan bertemu dengan rahsia dua anak panah yang bertemu.


Kerana kami tidak ingin menjadi padi yang diinjak, kami memilih mendongak kepala dan meninggi hidung, sambil melukis diri sebagai Tuhan yang disembah di atas pentas agama.


Sujud ini hanyalah sebuah lakonan kosong, bagai padi yang tidak menjadi nasi.


Khairool Haque

[Iftitah, Baytul Hikma, 2019]